Tiroi merupakan sebuah pekan kecil yang terletak bersebelahan dengan pekan Labu, di dalam daerah Seremban, Negeri Sembilan. Sebagai sebuah pekan kecil yang hanya mempunyai beberapa deretan kedai, Tiroi dilengkapi dengan kemudahan stesen keretapi yang menghubungkan terus penduduk Tiroi dengan bandar-bandar besar di Malaysia seperti Kuala Lumpur dan Seremban. Ini jelas berbeza dengan bandar-bandar besar lain di Malaysia seperti Kuala Terengganu, Kuantan dan beberapa kawasan elit lain seperti Sri Hartamas dan Bangsar yang tidak mempunyai stesen kereta api sendiri, lantas menjadikan Tiroi sebagai sebuah pekan yang maju selangkah ke hadapan berbanding kawasan-kawasan yang disebutkan tadi.
Berdekatan dengan stesen Tiroi, wujudnya sebuah institusi pendidikan yang menggunakan nama Labu sebagai kawasan terletaknya institusi tersebut. Di dalam institusi tersebut, wujudnya rakyat-rakyat yang majoritinya terdiri daripada remaja berusia 13-19 tahun yang sering dapat dilihat memenuhi kawasan padang yang tidak rata dan berpasir pada setiap petang untuk bermain bola sepak. Bola sepak di situ dimainkan dengan harmoni, setiap darjat umur akan bermain sesama sendiri dan berkongsi padang yang sama. Cuma kadang-kadang remaja yang berumur 13 dan 14 tahun akan bermain bersama kerana cuma tinggal satu slot padang yang tinggal.
Melihat kepada perkembangan bola sepak yang pesat ini, beberapa remaja tersebut yang sudah menjangkau usia melebihi had bermain bola di institusi tersebut mula memikirkan satu idea untuk meneruskan legasi bola sepak walaupun masing-masing sudah berkelana jauh daripada Tiroi dan Labu. Menerus perbincangan dan mesyuarat yang sering dijalankan di Skype dan mesyuarat fizikal di Hotel Royal Chulan, beberapa orang anak muda mula mengorak langkah berani untuk menubuhkan sebuah pasukan kelab bola sepak yang mengambil zouq atau nyawa daripada budaya bola sepak Tiroi.
Lantas tertubuhlah Tiroi Wanderers.
Idea dan nama Tiroi Wanderers ini terhasil hasil daripada mesyuarat di Skype bersama Pengarah Urawa Reds Diamonds (kelab J-League Jepun), Keizo Fuchita. Keizo, atau nama mesranya Ita, menegaskan bahawa matlamat utama penubuhan sesebuah kelab bola sepak ialah untuk merakyatkan sukan itu. Bola sepak sepatutnya menjadi wadah di mana rakyat dapat mengambil ibrah dan mengeratkan silaturrahim sesama insan.
Tidak puas dengan jawapan itu, anak-anak muda itu kemudiannya berbalas WeChat dengan Pengurus Gamba Osaka (juga kelab J-League Jepun), Kenta Hasegawa untuk bertanyakan lebih lanjut tentang bola sepak dan masyarakat. Kenta dengan nada cautious memberitahu bahawa budaya masyarakat dan bola sepak ini sudah diwujudkan oleh kelab-kelab Jepun untuk menanam rasa cinta masyarakat terhadap sukan. Beliau memberi contoh, semua kelab-kelab di Jepun diwajibkan untuk menamakan bandar atau pekan yang menjadi tempat asal kelab bolasepak itu dalam nama pasukan masing-masing. Contohnya seperti Gamba OSAKA, URAWA Reds, KASHIMA Antlers dan banyak lagi.
Jadi bagaimana pula dengan nama Wanderers? Wander dalam terjemahan Kamus Oxford Fajar bermaksud bersiar-siar atau berjalan dengan rilek dan tenang. Bagi penduduk Tiroi dan kawasan sekitar, maksud Tiroi itu sendiri sudah memberi makna bersiar-siar.
Contoh ayat. "Kau nak ke mana?" "Tiroi." "Oo, nak ke KL atau Seremban?"
Jelas bahawa perkataan Tiroi itu sendiri membawa maksud yang lebih besar. Ini juga menunjukkan Tiroi sebagai satu hub penting dalam perjalanan pergi balik rakyat Malaysia dari KL ke Seremban. Selain itu, keadaan Stesen Tiroi yang tidak terjaga kaunter tiket dan mesinnya juga menjadi pemangkin untuk mereka-mereka yang mahu naik kereta api secara percuma. Naik dari Tiroi tak perlu bayar sebab mesin tiket hancur, lepastu turun je mana-mana dan keluarlah dari stesen dengan selamat, asalkan anda tak lalu tempat scan tiket. Itu sahaja.
Kini, Tiroi Wanderers sibuk dalam rangka persiapan untuk menjadi salah sebuah kelab yang bukan sahaja hebat di kawasan Seremban-KL, malah seluruh Malaysia. Menjelang tahun 2027, dikhabarkan penduduk Tiroi akan sangat berbangga dengan kelab bolasepak ini sehingga akan wujudnya slogan, 'Kami Bangsa Tiroi'.
Untuk itu, pihak pengurusan Tiroi Wanderers, seluruh pemain serta para penyokong amat mengharapkan sokongan anda untuk sama-sama memajukan kelab kecil ini. Diharap agar usaha murni ini akan beroleh ganjaran yang besar di waktu akan datang, seterusnya mengangkat nama Tiroi, dan akhir sekali bola sepak Malaysia. Hidup Tiroi Wanderers!
No comments:
Post a Comment