Saturday, September 3, 2016

Festival Filem Malaysia ke-28 #FFM28

Ada beberapa aspek dalam pengajuran Festival Filem Malaysia ke-28 kali ini yang masih berada di takuk lama dan tidak berubah cara pemikiran dan pelaksanaannya. Kita lupakan dulu tentang kontroversi anugerah utama yang terpaksa dipecah dua kerana masalah rasis pihak FFM, itu sudah letih sesetengah pihak memperjuangkannya namun hasilnya cuma rebranding kategori, apa yang hendak dikomen hari ini berkisar tentang majlis itu sendiri.

1- Penyampai anugerah

Sebenarnya sudah berapa lama barisan penyampai-penyampai anugerah ini tahu yang mereka terpilih sebagai penyampai? Dua jam sebelum? Majlis ini dimulakan oleh dua penyampai anugerah, Zizi Zulkifli dan Tam Suhaimi dan pada waktu itu kita sudah nampak betapa elegan dan teraturnya majlis ini bakal berlangsung. Dua figura ini nampak sudah bersedia dan hafal skrip yang diberikan untuk menyampaikan anugerah. Kita boleh nampak mereka mengambil serius perkara ini. Namun seterusnya penyampai-penyampai anugerah yang lain makin lama makin hancur. Erra Fazira sendiri yang dah menghafal berpuluh-puluh skrip pun tak mampu hafal dua baris skrip anugerah. Kenapa?

Kerana mungkin mereka sudah ternama dan nampak perkara ini sebagai tidak serius. Aku tak hafal tahun depan aku naik pentas juga kan? Dalam hal ini, mereka-mereka yang menghafal skrip adalah wira majlis sebenar. 

2 - Mempersenda fizikal

Acara wajib seseorang pengacara majlis Melayu. Dalam hal ini kita nampak Sherry al Hadad bersikap sangat professional dengan tidak mempedulikan Nabil Ahmad (seperti artis penyampai anugerah lain, yang merasakan nama sudah terlalu besar dalam industri) yang sepanjang masa mempersenda fizikal. Cukup-cukuplah. Banyak perkara lain boleh dituturkan. Rasanya kalau Nabil cuba bersikap formal juga tidak salah dalam majlis sebegini, malah mungkin akan mendapat pujian.

3 - Calon-calon kategori

Bagi sesetengah kategori yang menampilkan sehingga 10 calon, itu sudah kelihatan seperti jadual filem-filem tahun 2015. Kenapa tidak mampu untuk bariskan lima sahaja? Apa gunanya juri jika tak mampu bariskan lima terbaik? Atau sebenarnya memang ada lima terbaik tapi secara politiknya, terpaksa juga meletakkan filem ke-6, ke-7 dan seterusnya untuk menjaga hati sesetengah pihak. 

Juri ditugaskan untuk menyaring calon-calon pemenang, bukannya menyediakan jadual filem tahunan.

Namun, ada beberapa perkara juga yang patut diberi pujian. Pemilihan Datuk Rosyam Nor untuk menyampaikan anugerah dengan cara preview calon-calon yang berbeza dengan yang lain agak menarik dan menambah rasa ekslusiviti kepada calon-calon tersebut. Kalau boleh memanglah kita mahukan untuk semua kateogeri disampaikan begitu, namun diakui cara sebegitu agak memakan masa dan keputusan untuk meletakkan kategori Pelakon Lelaki dan Wanita terbaik disampaikan dengan cara begitu agak sesuai.

Daripada aspek persembahan, pemilihan jenis persembahan dan artis agak sesuai dengan sebuah majlis sebegini. Ianya bukanlah sebuah majlis untuk berdansa dan terkinja-kinja, jadi persembahan perlu mempunyai nilai ekslusif dan elegan dan ianya nampak kena dengan majlis.

Cuma FFM perlu lebih menyeluruh, Dalam sesebuah acara black tie sebegini dengan persembahan-persembahan elegan dan hebat, buanglah saja Nabil Ahmad dan lawak di takuk Raja Lawak. Itu sahaja akan mampumembuat majlis ini menepati tema secara menyeluruh.

Untuk filem Jagat, tahniah! Anda memang terbaik walaupun HANYA memenang kategori KEDUA utama. Kita pun tahu siapa penganjur FFM kali ini, jadi takkanlah anak beranaknya tak menang kategori UTAMA.

Sekian daripada seorang penonton, yang kadangkala berpeluang menonton Oscar jika diberi kesempatan masa.

No comments:

Post a Comment