Monday, September 26, 2016

Jangan berhenti kerja untuk memulakan sesuatu yang anda minat

Hari ini saya terbaca sebuah artikel dalam Bahasa Inggeris yang jika diterjemah tajuknya secara ringkas berbunyi, "Jangan Berhenti Kerja Kerana Mahu Memenuhi Minat".

Daripada tajuknya sahaja terus saya tertarik untuk membacanya kerana kita seringkali dimomokkan dengan artikel-artikel yang menyuruh kita berhenti melakukan sesuatu di luar kerelaan, terus mengejar cita-cita dan minat serta praktikkan minat anda dalam kehidupan seharian sehingga anda merasa anda tidak pernah bekerja setiap hari.

Artikel ini keseluruhannya berkisar dengan gaya hidup anda sendiri. Kuatkah diri anda untuk berdiri di atas kaki sendiri? Mampukah sebenarnya anda membahagikan masa dan tenaga untuk bekerja menyara hidup anda sendiri? Impian semua orang untuk menjadi bos kepada diri sendiri tapi tahukah sebenarnya bos itulah yang sering tidak tidur malam memikirkan adakah wang ringgit pada hari esok.

Artikel ini kemudiannya meneruskan momokannya dengan mempersoalkan adakah anda sebenarnya boleh menukar minat anda ke dalam bentuk wang ringgit. Perlu diingat, mempunyai minat sebagai hobi dan minat sebagai sumber kewangan hari ke hari adalah berlainan sama sekali. 

Kita mungkin boleh tertukar minat yang kita ada itu kepada sesuatu yang kita benci dan memberi penuh tekanan emosi jika di akhirnya kita tidak berjaya menukarnya kepada wang ringgit.

Artikel ini sangat menarik kerana sehingga 2/3 karangan pun, kita masih tidak tahu hala tuju penulis. Adakah beliau betul-betul mahu menghentam orang yang berhenti kerja kerana minat atau adakah beliau seorang yang telah tersalah langkah kerana terlampau terpengaruh dengan cakap-cakap orang bahawa anda perlu menjadikan minat anda sebagai sumber pendapatan.

Beliau juga mempersoalkan kita, selaku anak muda, bahawa apakah salahnya dengan bekerja di pejabat dari 8-5 petang setiap hari. Adakah salah dengan punca rezeki itu? Adakah memang ditakdirkan semua orang perlu ke arah keusahawanan dan membuka perniagaan sendiri? 

Sehinggalah di akhirnya penulis berkata, anda jangan berhenti kerja kerana minat, tapi berhentilah kerja kerana keperluan. Berhentilah kerana anda memang sudah tidak tahan untuk duduk terperap di dalam ofis dari subuh hingga ke isyak, berhentilah kerana anda ada keluarga yang perlu diuruskan, berhentilah kerana anda sudah tidak mampu menipu diri sendiri membuat perkara yang anda benci, dan berhentilah kerana ada alternatif lain yang menunggu anda.

Tapi jangan berhenti kerana minat.

Minat tidak membawa pulangan wang ringgit, sekiranya anda tidak ada keperluan untuk menguruskan minat itu.

Thursday, September 22, 2016

Tiroi Wanderers : Sejarah Penubuhan Kelab

Tiroi merupakan sebuah pekan kecil yang terletak bersebelahan dengan pekan Labu, di dalam daerah Seremban, Negeri Sembilan. Sebagai sebuah pekan kecil yang hanya mempunyai beberapa deretan kedai, Tiroi dilengkapi dengan kemudahan stesen keretapi yang menghubungkan terus penduduk Tiroi dengan bandar-bandar besar di Malaysia seperti Kuala Lumpur dan Seremban. Ini jelas berbeza dengan bandar-bandar besar lain di Malaysia seperti Kuala Terengganu, Kuantan dan beberapa kawasan elit lain seperti Sri Hartamas dan Bangsar yang tidak mempunyai stesen kereta api sendiri, lantas menjadikan Tiroi sebagai sebuah pekan yang maju selangkah ke hadapan berbanding kawasan-kawasan yang disebutkan tadi.

Berdekatan dengan stesen Tiroi, wujudnya sebuah institusi pendidikan yang menggunakan nama Labu sebagai kawasan terletaknya institusi tersebut. Di dalam institusi tersebut, wujudnya rakyat-rakyat yang majoritinya terdiri daripada remaja berusia 13-19 tahun yang sering dapat dilihat memenuhi kawasan padang yang tidak rata dan berpasir pada setiap petang untuk bermain bola sepak. Bola sepak di situ dimainkan dengan harmoni, setiap darjat umur akan bermain sesama sendiri dan berkongsi padang yang sama. Cuma kadang-kadang remaja yang berumur 13 dan 14 tahun akan bermain bersama kerana cuma tinggal satu slot padang yang tinggal.

Melihat kepada perkembangan bola sepak yang pesat ini, beberapa remaja tersebut yang sudah menjangkau usia melebihi had bermain bola di institusi tersebut mula memikirkan satu idea untuk meneruskan legasi bola sepak walaupun masing-masing sudah berkelana jauh daripada Tiroi dan Labu. Menerus perbincangan dan mesyuarat yang sering dijalankan di Skype dan mesyuarat fizikal di Hotel Royal Chulan, beberapa orang anak muda mula mengorak langkah berani untuk menubuhkan sebuah pasukan kelab bola sepak yang mengambil zouq atau nyawa daripada budaya bola sepak Tiroi. 

Lantas tertubuhlah Tiroi Wanderers.

Idea dan nama Tiroi Wanderers ini terhasil hasil daripada mesyuarat di Skype bersama Pengarah Urawa Reds Diamonds (kelab J-League Jepun), Keizo Fuchita. Keizo, atau nama mesranya Ita, menegaskan bahawa matlamat utama penubuhan sesebuah kelab bola sepak ialah untuk merakyatkan sukan itu. Bola sepak sepatutnya menjadi wadah di mana rakyat dapat mengambil ibrah dan mengeratkan silaturrahim sesama insan. 

Tidak puas dengan jawapan itu, anak-anak muda itu kemudiannya berbalas WeChat dengan Pengurus Gamba Osaka (juga kelab J-League Jepun), Kenta Hasegawa untuk bertanyakan lebih lanjut tentang bola sepak dan masyarakat. Kenta dengan nada cautious memberitahu bahawa budaya masyarakat dan bola sepak ini sudah diwujudkan oleh kelab-kelab Jepun untuk menanam rasa cinta masyarakat terhadap sukan. Beliau memberi contoh, semua kelab-kelab di Jepun diwajibkan untuk menamakan bandar atau pekan yang menjadi tempat asal kelab bolasepak itu dalam nama pasukan masing-masing. Contohnya seperti Gamba OSAKA, URAWA Reds, KASHIMA Antlers dan banyak lagi. 

Jadi bagaimana pula dengan nama Wanderers? Wander dalam terjemahan Kamus Oxford Fajar bermaksud bersiar-siar atau berjalan dengan rilek dan tenang. Bagi penduduk Tiroi dan kawasan sekitar, maksud Tiroi itu sendiri sudah memberi makna bersiar-siar.

Contoh ayat. "Kau nak ke mana?" "Tiroi." "Oo, nak ke KL atau Seremban?" 

Jelas bahawa perkataan Tiroi itu sendiri membawa maksud yang lebih besar. Ini juga menunjukkan Tiroi sebagai satu hub penting dalam perjalanan pergi balik rakyat Malaysia dari KL ke Seremban. Selain itu, keadaan Stesen Tiroi yang tidak terjaga kaunter tiket dan mesinnya juga menjadi pemangkin untuk mereka-mereka yang mahu naik kereta api secara percuma. Naik dari Tiroi tak perlu bayar sebab mesin tiket hancur, lepastu turun je mana-mana dan keluarlah dari stesen dengan selamat, asalkan anda tak lalu tempat scan tiket. Itu sahaja.

Kini, Tiroi Wanderers sibuk dalam rangka persiapan untuk menjadi salah sebuah kelab yang bukan sahaja hebat di kawasan Seremban-KL, malah seluruh Malaysia. Menjelang tahun 2027, dikhabarkan penduduk Tiroi akan sangat berbangga dengan kelab bolasepak ini sehingga akan wujudnya slogan, 'Kami Bangsa Tiroi'.

Untuk itu, pihak pengurusan Tiroi Wanderers, seluruh pemain serta para penyokong amat mengharapkan sokongan anda untuk sama-sama memajukan kelab kecil ini. Diharap agar usaha murni ini akan beroleh ganjaran yang besar di waktu akan datang, seterusnya mengangkat nama Tiroi, dan akhir sekali bola sepak Malaysia. Hidup Tiroi Wanderers!

Wednesday, September 21, 2016

A.Ash Design: TWFC 24 September


Latest design for the most successful club in Tiroi and Labu, Tiroi Wanderers Fc for their upcoming match. 


Untuk design rilek-rilek,
Ariff Ashman
014 - 5327392
ariff.ashman@gmail.com

Thursday, September 15, 2016

A.Ash Design: Tiroi Wanderers v Sovereign FC

September Fixtures!

New poster design for Tiroi Wanderers.


Untuk design rilek-rilek,

Ariff Ashman
014 532 7392
ariff.ashman@gmail.com

Saturday, September 10, 2016

Kesengsaraan yang Menyeronokkan

Tinggal tak sampai 2 bulan sahaja lagi untuk aku bertukar status daripada bujang kepada suami orang. Dalam hati macam-macam perasaan ada dan aku tak nafikan perasaan ini bercampur-baur mengikut tempoh. Bermula dari tempoh sebelum bertunang, sehinggalah sekarang, perasaan itu akan bertukar ganti. Hari ini, aku nak cerita tentang itu.

Sebelum bertunang, ianya lebih kepada rasa tak sabar. Ya lah, kau nak bertunang kan. Nak tukar status daripada bujang kepada tunangan orang. Lain macam pergi dia beb! Ianya memang satu benda yang major dalam hidup, untuk berubah status dan paling penting aku sudah menyatakan kesediaan untuk berkahwin. Did I say kesediaan untuk berkahwin? Haa part ni tiba-tiba perasaan kau berubah daripada gembira, kepada bertanggungjawab. Masa ni rasa macam ada bebanan sikit kat bahu. Yang buat kau lebih rasa bertanggungjawab? Kau masuk Habib beli cincin. Haa masa ni tahap bertanggungjawab tu mencanak tinggi. Gila apa seumur hidup tak pernah masuk Habib tiba-tiba dalam wallet ada business card manager Habib Alpha Angle Wangsa Maju?

Selepas bertunang, perasaan akan lebih terarah kepada persiapan majlis kahwin. Pinterest akan menjadi peneman setia untuk mendapatkan idea tentang majlis kahwin nanti. Nak tema apa semua akan ada kat situ, rajin tak rajin je nak cari. Tapi aku mengaku sampai sekarang aku tak dapat lagi tema cuma yang ada je tema colour.

3 bulan sebelum majlis kahwin, anda akan hilang mood dah untuk majlis. Masa ni sebab dah kena pikir duit. Mana nak cekau duit tiba-tiba. Mana nak cari duit nak sewa rumah, isi barang dalam rumah, duit doorgift, duit nak beli baju kahwin, duit catering, duit khemah, duit homestay, duit barang hantaran dan paling pening, duit hantaran.

Duit.

Masa inilah datang kesengsaraan itu. Namun rezeki itu luas, Sudah banyak kali bank tinggal habuk tapi alhamdulillah semua masih boleh settle. Masa inilah datangnya kesengsaraan yang menyeronokkan. Selepas satu persatu to-do list berjaya di tick. Dan aku baru sahaja melalui kesengsaraan major yang menyeronokkan.

Aku baru berjaya sewa rumah untuk hidup selepas kahwin nanti.

Kejayaan itu memberi motivasi untuk lebih berjaya dalam kesengsaraan-kesengsaraan yang lain. Haha!

Saturday, September 3, 2016

Merdeka-59

Beberapa hari sebelum merdeka 59, aku ada pm Facebook ahli pasif Tannah untuk menyiapkan satu poster kemerdekaan. Beliau tak reply whatsapp itu sehinggalah tiba-tiba muncul poster ini daripada beliau.  

Thank you!

by Nasih Ulwan

Festival Filem Malaysia ke-28 #FFM28

Ada beberapa aspek dalam pengajuran Festival Filem Malaysia ke-28 kali ini yang masih berada di takuk lama dan tidak berubah cara pemikiran dan pelaksanaannya. Kita lupakan dulu tentang kontroversi anugerah utama yang terpaksa dipecah dua kerana masalah rasis pihak FFM, itu sudah letih sesetengah pihak memperjuangkannya namun hasilnya cuma rebranding kategori, apa yang hendak dikomen hari ini berkisar tentang majlis itu sendiri.

1- Penyampai anugerah

Sebenarnya sudah berapa lama barisan penyampai-penyampai anugerah ini tahu yang mereka terpilih sebagai penyampai? Dua jam sebelum? Majlis ini dimulakan oleh dua penyampai anugerah, Zizi Zulkifli dan Tam Suhaimi dan pada waktu itu kita sudah nampak betapa elegan dan teraturnya majlis ini bakal berlangsung. Dua figura ini nampak sudah bersedia dan hafal skrip yang diberikan untuk menyampaikan anugerah. Kita boleh nampak mereka mengambil serius perkara ini. Namun seterusnya penyampai-penyampai anugerah yang lain makin lama makin hancur. Erra Fazira sendiri yang dah menghafal berpuluh-puluh skrip pun tak mampu hafal dua baris skrip anugerah. Kenapa?

Kerana mungkin mereka sudah ternama dan nampak perkara ini sebagai tidak serius. Aku tak hafal tahun depan aku naik pentas juga kan? Dalam hal ini, mereka-mereka yang menghafal skrip adalah wira majlis sebenar. 

2 - Mempersenda fizikal

Acara wajib seseorang pengacara majlis Melayu. Dalam hal ini kita nampak Sherry al Hadad bersikap sangat professional dengan tidak mempedulikan Nabil Ahmad (seperti artis penyampai anugerah lain, yang merasakan nama sudah terlalu besar dalam industri) yang sepanjang masa mempersenda fizikal. Cukup-cukuplah. Banyak perkara lain boleh dituturkan. Rasanya kalau Nabil cuba bersikap formal juga tidak salah dalam majlis sebegini, malah mungkin akan mendapat pujian.

3 - Calon-calon kategori

Bagi sesetengah kategori yang menampilkan sehingga 10 calon, itu sudah kelihatan seperti jadual filem-filem tahun 2015. Kenapa tidak mampu untuk bariskan lima sahaja? Apa gunanya juri jika tak mampu bariskan lima terbaik? Atau sebenarnya memang ada lima terbaik tapi secara politiknya, terpaksa juga meletakkan filem ke-6, ke-7 dan seterusnya untuk menjaga hati sesetengah pihak. 

Juri ditugaskan untuk menyaring calon-calon pemenang, bukannya menyediakan jadual filem tahunan.

Namun, ada beberapa perkara juga yang patut diberi pujian. Pemilihan Datuk Rosyam Nor untuk menyampaikan anugerah dengan cara preview calon-calon yang berbeza dengan yang lain agak menarik dan menambah rasa ekslusiviti kepada calon-calon tersebut. Kalau boleh memanglah kita mahukan untuk semua kateogeri disampaikan begitu, namun diakui cara sebegitu agak memakan masa dan keputusan untuk meletakkan kategori Pelakon Lelaki dan Wanita terbaik disampaikan dengan cara begitu agak sesuai.

Daripada aspek persembahan, pemilihan jenis persembahan dan artis agak sesuai dengan sebuah majlis sebegini. Ianya bukanlah sebuah majlis untuk berdansa dan terkinja-kinja, jadi persembahan perlu mempunyai nilai ekslusif dan elegan dan ianya nampak kena dengan majlis.

Cuma FFM perlu lebih menyeluruh, Dalam sesebuah acara black tie sebegini dengan persembahan-persembahan elegan dan hebat, buanglah saja Nabil Ahmad dan lawak di takuk Raja Lawak. Itu sahaja akan mampumembuat majlis ini menepati tema secara menyeluruh.

Untuk filem Jagat, tahniah! Anda memang terbaik walaupun HANYA memenang kategori KEDUA utama. Kita pun tahu siapa penganjur FFM kali ini, jadi takkanlah anak beranaknya tak menang kategori UTAMA.

Sekian daripada seorang penonton, yang kadangkala berpeluang menonton Oscar jika diberi kesempatan masa.