Tuesday, November 17, 2015

Puisi Perasaan

Adakah aku benci apa yang aku lakukan.
Adakah aku bosan dengan keadaan.
Atau adakah sebenarnya aku lupa pada Tuhan?


Assalamualaikum. Aku sekarang dalam satu keadaan yang mana telah lama membayangi hidup aku. Perkara ini telah berlaku sejak beberapa tahun lepas dan kini masih lagi menjadi satu tanda tanya kepada diri aku, apakah sebenarnya yang aku mahukan dalam dunia ini? Sehingga ke saat ini aku masih tidak dapat jawapan yang utuh.

Satu sahaja perkara yang perlu aku lakukan. Terus sentiasa bersama Tuhan. Aku sedar aku banyak melarikan diri daripada dekat dengan Tuhan hingga kadang-kadang dalam doaku yang jarang-jarang itu, aku sendiri berasa malu. Kenapa aku masih meminta bantuan Tuhan tatkala aku dalam kesusahan? Kenapa tidak aku teruskan hidup bersendiri sahaja seperti tikamana aku dalam kesenangan? Malu bukan?

Di saat hati pedih.
Di saat tiada kasih.
Baru rasa nak bertasbih.
Teringat Sang-Pencipta. Yang selama ini tiada dalam hati. Yang selama ini sudah mati.

Aku ada satu penyakit. Aku sukar buat keputusan bila melibatkan hidup aku. Aku selalu membiarkan jiwa aku terseksa dengan memikirkan langkah hidup yang perlu dilakukan, daripada terus membuat keputusan dan menghadap kemungkinan. Penyakit aku ini banyak berkait rapat dengan sikap aku sejak azali, terlalu memikirkan perasaan orang lain. Ya, aku seperti telah terdidik sejak kecil untuk sentiasa memikirkan tanggapan orang terhadap aku. Maka dengan itu aku sering menyimpan perbuatan yang aku rasa aku patut lakukan supaya tidak melukakan perasaan sesiapa.

Aku sedar sedikit demi sedikit perangai aku ini akan perlahan-lahan memamah hatiku. Namun aku seakan tak berdaya untuk mengubahnya. Ya, memang bagus memikirkan perasaan orang lain dalam membuat keputusan dan tindakan, namun aku rasa aku sudah termasuk dalam kategori yang memudaratkan. Sebetulnya, membuat keputusan yang memberi kesenangan kepada diri sendiri dan juga orang lain. Ianya memang sukar, namun ianya tidak mustahil. Untuk waktu ini, ia tampak mustahil bagi aku.

Aku sentiasa berharap aku akan lebih tegas dalam menjaga perasaan aku dan manusia sekeliling. Aku senantiasa berharap agar satu hari nanti (moga ianya secepat mungkin) aku dapat mengubah pendekatan aku dalam berfikir dan membuat keputusan. Aku selalu berdoa agar aku dapat sentiasa memuaskan hati sendiri, dalam masa sama tidak hilang keupayaan aku yang gemar memikir perasaan orang lain juga.

Aku juga sedar dalam aku memikir perasaan orang lain terlampau banyak, aku juga semakin banyak melukakan perasaan orang. Semakin aku menjaga, semakin aku melukakan. Mungkin sebenarnya kunci kepada semua ini ialah mendapat redha Tuhan dan kepuasan diri, barulah orang lain akan redha juga.


 Tuhan, bantulah aku.

No comments:

Post a Comment