Thursday, November 19, 2015

Bersalah tidak membantu namun takut tertipu

Suatu hari, dalam perjalanan pulang dari Putrajaya kira-kira pukul 12.30 tengah hari, aku didatangi seorang pakcik dalam linkungan 70-an yang menghampiri kereta aku ketika aku sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Tun Razak.

Reaksi pertama aku? Kunci pintu.

Pakcik itu kemudian cuba mengetuk-ngetuk cermin kereta untuk menarik perhatian aku.

Tindakan seterusnya? Aku turunkan cermin tingkap separuh. Kenapa aku agak berhati-hati. Kerana pakcik ini jelas bukanlah seperti peminta sedekah yang selalu kita lihat bertenggek daripada satu kereta ke kereta yang lain cuba menjual tisu atau kadangkala sekadar meminta wang saku.

Pakcik itu kemudiannya merintih meminta tolong. Ujarnya kereta beliau rosak berhampiran Tabung Haji dan sekarang tiada duit untuk membaiki kereta. Beliau perlu bergegas ke Seremban. Bunyi seakan logik sekali. Jalan itu memang boleh menuju ke Seremban, dan Tabung Haji memang terletak berdekatan. Beliau meminta RM50 untuk membaiki segera. Aku sudah lupa apa yang rosak tapi RM50 memang agak munasabah dengan kerosakan bahagian kereta itu.

Kalau kamu, bagaimana? Seorang pakcik sebaya atuk kamu, mungkin lebih tua, tidaklah gagah mana namun dari mata kasar kudratnya masih bertenaga. Senang cerita anda bayangkan sahaja watak pakcik-pakcik dalam iklan-iklan melayu yang tolak beca siang malam, ambil cucu di sekolah dan berhujan panas mencari rezeki. Nampak uzur namun punyai tenaga luar biasa. Aku secara jujurnya memang itu terbayang dalam kepala aku.

Kenapa bayangan itu sangat signifikan? Sebab itu mengingatkan aku bahawa walaupun pakcik ini nampak tua dia masih ada kudrat. Jadi apa seseorang asing yang ada kudrat boleh lakukan kepada anda jika anda ditegur oleh mereka secara tiba-tiba? Anda boleh fikirkan sendiri.

Pakcik itu merayu dengan suara yang sangat sebak. Sejujurnya aku sangat sedih pada waktu itu mengenangkan kesusahan beliau. Dalam pada rayuan itu, lampu hijau menyala. Kereta-kereta di depan aku semua sudah bergerak. Aku masih bertanya beberapa soalan kepada pakcik itu dan kereta belakang sudah membunyikan hon. Tanpa berfikir panjang, aku pun berlalu. Pakcik itu memegang kuat kereta aku seperti menarik aku supaya jangan pergi. Mungkin dalam berpuluh kereta yang ditahan, hanya aku yang sudi mendengar ceritanya.

Aku berlalu pergi sambil cuba membisik ke dalam hati aku, “bagaimana kalau pakcik aku mengugut aku kalau akum ahu membantu beliau”, “RM50 banyak sangat kot nak bagi”, “tak nampak kereta dia pun, mana nye yang rosak” dan macam-macam lagi. Namun semakin aku memandu menghampiri pejabat, muncul pula persoalan lain.

“Bagaimana kalau dia memang benar-benar memerlukan bantuan?”

“Bayangkan atuk aku sendiri, di tengah-tengah Kuala Lumpur dalam kesusahan, tiada siapa nak bantu dia pulang ke rumah.”

“Rm50 bukan banyak sangat nak bandingkan dapat bantu seorang tua yang kelihatan tidaklah begitu larat.”

“Sampai bila baru akan ada orang yang nak menolong dia?”

“Berdosakah aku?”

Hingga saat ini, aku hanya berharap agar pakcik itu selamat. Tidak kisahlah dia mahu menipu, atau dia benar-benar dalam kesusahan, aku tetap berharap dia selamat. Hingga ke saat ini masih terngiang-ngiang kata-kata beliau dalam masa beberapa saat itu..



“Tolong pakcik dik, hanya Allah yang mampu balas jasa adik. Tolong dik..”

No comments:

Post a Comment