Saturday, November 28, 2015

Sedap ke bertangguh kerja?

Aku sekarang duduk di hadapan pc, dengan niat untuk mula menulis selepas terkesan menonton filem 'Writers' yang ditayangkan di FoxHD. Aku hanya mula menonton pada suku yang terakhir cerita itu namun aku sudah rasa yang ianya sebuah cerita yang sangat bagus. Kisah mengenai keluarga penulis yang berdepan pelbagai masalah kekeluargaan sehingga akhirnya mereka bersatu kembali.

Sekarang yang aku mahu ceritakan bukan tentang plot cerita itu. Aku mahu bercerita tentang sikap mengangguh kerja yang akhirnya akan buat kau menyesal. Betul kata orang, kita akan lebih menyesal apabila menyedari yang kita tak lakukan perkara itu daripada melakukan perkara itu walaupun salah. Ya, semua orang akan ada rasa penyesalan itu. Pasti akan ada sesuatu dalam hidup kita yang kita rasa ralat tidak melakukannya. Itulah yang terjadi pada diri aku sekarang.

Kesnya mudah, aku lupa apa aku nak blog.

Sebenarnya hari ini aku tiada isi untuk blog namun aku tetap mahu menulis. Dan yang paling menyedihkan, dalam seminggu aku tak sentuh blog ini, bermacam-macam artikel yang aku rasa aku nak tulis yang terjadi pada diri aku ataupun yang aku perhati. Yang bermain dalam fikiran aku sekarang, ada antara artikel tu sekadar 2-3 ayat sebab mesejnya dah sampai dan ada pula yang perlu sampai 2-3 perenggan ke atas.

Namun mesej paling utama, aku lupa apa aku nak tulis.

Lagi utama, bertangguh kerja boleh membuatkan kau marah pada diri sendiri.

Aku rasa bodoh sebentar. Kalaulah aku tak bertangguh menulis, pasti dunia dapat merasa manfaat. Gitu..

Thursday, November 19, 2015

Bersalah tidak membantu namun takut tertipu

Suatu hari, dalam perjalanan pulang dari Putrajaya kira-kira pukul 12.30 tengah hari, aku didatangi seorang pakcik dalam linkungan 70-an yang menghampiri kereta aku ketika aku sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Tun Razak.

Reaksi pertama aku? Kunci pintu.

Pakcik itu kemudian cuba mengetuk-ngetuk cermin kereta untuk menarik perhatian aku.

Tindakan seterusnya? Aku turunkan cermin tingkap separuh. Kenapa aku agak berhati-hati. Kerana pakcik ini jelas bukanlah seperti peminta sedekah yang selalu kita lihat bertenggek daripada satu kereta ke kereta yang lain cuba menjual tisu atau kadangkala sekadar meminta wang saku.

Pakcik itu kemudiannya merintih meminta tolong. Ujarnya kereta beliau rosak berhampiran Tabung Haji dan sekarang tiada duit untuk membaiki kereta. Beliau perlu bergegas ke Seremban. Bunyi seakan logik sekali. Jalan itu memang boleh menuju ke Seremban, dan Tabung Haji memang terletak berdekatan. Beliau meminta RM50 untuk membaiki segera. Aku sudah lupa apa yang rosak tapi RM50 memang agak munasabah dengan kerosakan bahagian kereta itu.

Kalau kamu, bagaimana? Seorang pakcik sebaya atuk kamu, mungkin lebih tua, tidaklah gagah mana namun dari mata kasar kudratnya masih bertenaga. Senang cerita anda bayangkan sahaja watak pakcik-pakcik dalam iklan-iklan melayu yang tolak beca siang malam, ambil cucu di sekolah dan berhujan panas mencari rezeki. Nampak uzur namun punyai tenaga luar biasa. Aku secara jujurnya memang itu terbayang dalam kepala aku.

Kenapa bayangan itu sangat signifikan? Sebab itu mengingatkan aku bahawa walaupun pakcik ini nampak tua dia masih ada kudrat. Jadi apa seseorang asing yang ada kudrat boleh lakukan kepada anda jika anda ditegur oleh mereka secara tiba-tiba? Anda boleh fikirkan sendiri.

Pakcik itu merayu dengan suara yang sangat sebak. Sejujurnya aku sangat sedih pada waktu itu mengenangkan kesusahan beliau. Dalam pada rayuan itu, lampu hijau menyala. Kereta-kereta di depan aku semua sudah bergerak. Aku masih bertanya beberapa soalan kepada pakcik itu dan kereta belakang sudah membunyikan hon. Tanpa berfikir panjang, aku pun berlalu. Pakcik itu memegang kuat kereta aku seperti menarik aku supaya jangan pergi. Mungkin dalam berpuluh kereta yang ditahan, hanya aku yang sudi mendengar ceritanya.

Aku berlalu pergi sambil cuba membisik ke dalam hati aku, “bagaimana kalau pakcik aku mengugut aku kalau akum ahu membantu beliau”, “RM50 banyak sangat kot nak bagi”, “tak nampak kereta dia pun, mana nye yang rosak” dan macam-macam lagi. Namun semakin aku memandu menghampiri pejabat, muncul pula persoalan lain.

“Bagaimana kalau dia memang benar-benar memerlukan bantuan?”

“Bayangkan atuk aku sendiri, di tengah-tengah Kuala Lumpur dalam kesusahan, tiada siapa nak bantu dia pulang ke rumah.”

“Rm50 bukan banyak sangat nak bandingkan dapat bantu seorang tua yang kelihatan tidaklah begitu larat.”

“Sampai bila baru akan ada orang yang nak menolong dia?”

“Berdosakah aku?”

Hingga saat ini, aku hanya berharap agar pakcik itu selamat. Tidak kisahlah dia mahu menipu, atau dia benar-benar dalam kesusahan, aku tetap berharap dia selamat. Hingga ke saat ini masih terngiang-ngiang kata-kata beliau dalam masa beberapa saat itu..



“Tolong pakcik dik, hanya Allah yang mampu balas jasa adik. Tolong dik..”

Tuesday, November 17, 2015

Puisi Perasaan

Adakah aku benci apa yang aku lakukan.
Adakah aku bosan dengan keadaan.
Atau adakah sebenarnya aku lupa pada Tuhan?


Assalamualaikum. Aku sekarang dalam satu keadaan yang mana telah lama membayangi hidup aku. Perkara ini telah berlaku sejak beberapa tahun lepas dan kini masih lagi menjadi satu tanda tanya kepada diri aku, apakah sebenarnya yang aku mahukan dalam dunia ini? Sehingga ke saat ini aku masih tidak dapat jawapan yang utuh.

Satu sahaja perkara yang perlu aku lakukan. Terus sentiasa bersama Tuhan. Aku sedar aku banyak melarikan diri daripada dekat dengan Tuhan hingga kadang-kadang dalam doaku yang jarang-jarang itu, aku sendiri berasa malu. Kenapa aku masih meminta bantuan Tuhan tatkala aku dalam kesusahan? Kenapa tidak aku teruskan hidup bersendiri sahaja seperti tikamana aku dalam kesenangan? Malu bukan?

Di saat hati pedih.
Di saat tiada kasih.
Baru rasa nak bertasbih.
Teringat Sang-Pencipta. Yang selama ini tiada dalam hati. Yang selama ini sudah mati.

Aku ada satu penyakit. Aku sukar buat keputusan bila melibatkan hidup aku. Aku selalu membiarkan jiwa aku terseksa dengan memikirkan langkah hidup yang perlu dilakukan, daripada terus membuat keputusan dan menghadap kemungkinan. Penyakit aku ini banyak berkait rapat dengan sikap aku sejak azali, terlalu memikirkan perasaan orang lain. Ya, aku seperti telah terdidik sejak kecil untuk sentiasa memikirkan tanggapan orang terhadap aku. Maka dengan itu aku sering menyimpan perbuatan yang aku rasa aku patut lakukan supaya tidak melukakan perasaan sesiapa.

Aku sedar sedikit demi sedikit perangai aku ini akan perlahan-lahan memamah hatiku. Namun aku seakan tak berdaya untuk mengubahnya. Ya, memang bagus memikirkan perasaan orang lain dalam membuat keputusan dan tindakan, namun aku rasa aku sudah termasuk dalam kategori yang memudaratkan. Sebetulnya, membuat keputusan yang memberi kesenangan kepada diri sendiri dan juga orang lain. Ianya memang sukar, namun ianya tidak mustahil. Untuk waktu ini, ia tampak mustahil bagi aku.

Aku sentiasa berharap aku akan lebih tegas dalam menjaga perasaan aku dan manusia sekeliling. Aku senantiasa berharap agar satu hari nanti (moga ianya secepat mungkin) aku dapat mengubah pendekatan aku dalam berfikir dan membuat keputusan. Aku selalu berdoa agar aku dapat sentiasa memuaskan hati sendiri, dalam masa sama tidak hilang keupayaan aku yang gemar memikir perasaan orang lain juga.

Aku juga sedar dalam aku memikir perasaan orang lain terlampau banyak, aku juga semakin banyak melukakan perasaan orang. Semakin aku menjaga, semakin aku melukakan. Mungkin sebenarnya kunci kepada semua ini ialah mendapat redha Tuhan dan kepuasan diri, barulah orang lain akan redha juga.


 Tuhan, bantulah aku.

Thursday, November 12, 2015

Konvokesyen 2015

Assalamualaikum.

Selamat bertemu kembali. Aku semacam diberi ilham untuk kembali memulakan aktiviti yang pada masa dulunya merupakan aktiviti wajib aku iaitu menulis dan bercerita tentang apa saja yang aku nak cerita. Kali ini, aku menulis di halaman yang baru, dengan berwajah baru selari dengan usia dan kematangan serta gaya penulisan baru yang kemungkinan juga akan selari dengan kematangan. Ya, yang itu aku tak boleh janji.

Hujung minggu yang lepas merupakan antara hari terpenting dalam hidup aku. Akhirnya aku berjaya menamatkan perjuangan hidup sebagai pelajar UIA sebagai graduan Seni Bina. Berbangga? Harus! Walaupun dalam nak sampai ke penghujung tu macam-macam perkara yang aku lalui, namun untuk mengetahui dan mempercayai yang aku berjaya habiskan memang tetap satu kepuasan. Aku tujukan kejayaan aku ini kepada keluarga aku, terutama kepada ayah yang sering kali telefon aku bila mana dia tahu anak dia dah habis duit. Naluri kebapaan yang menebal. Aku harap aku akan ada juga naluri ini bila aku dah menjadi bapa nanti.

Juga yang paling penting, ini ialah untuk arwah mak di syurga. Tunggu abang sampai ke sana jua.
Untuk permulaan, aku mahu letak memori-memori hari konvokesyen aku di sini untuk tatapan aku dan orang lain, jika blog ini dibaca oleh makhluk lain selain aku.

Dan untuk permulaan juga, aku berharap agar aku sentiasa memblog walau apa pun berlaku kerana ini sememangnya memberi kepuasan kepada aku. Aku gemar mendengar bunyi keypad dan spacebar keyboard aku yang sangat enak ditambah dengan melihat jari telunjuk kanan aku menari-nari dengan laju sambil disokong oleh dua jari tangan kiri yang mengawal pergerakan keypad di bahagian kiri. Sungguh indah bukan? Ia semacam memberi aku khayal sebentar dalam dunia keyboard yang tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata kerana semestinya tika aku menaip, mulut aku terkatup senyap sambil fikiran aku berlari sepantas cheetah yang dicipta untuk kelajuan, bukannya terkurung di kandang untuk tatapan.


Sekian untuk kali ini. Doakan aku sentiasa konsisten menulis untuk aku.

MUHAMMAD ARIFF ASHMAN

GRADUAN DAN KAWAN-KAWAN

GRADUAN DAN KAWAN-KAWAN SOPAN

TERSAYANG

LATAR BELAKANG KAED

SYURGA

ARCXIV II

ARCXIV II VERSION SANTAI

DARI DUNIA HINGGA KE SYURGA

ALI'S

ASHMAN DAN KAWAN-KAWAN

CINTA

SAHABAT

THE BROTHA

TAHUN DEPAN BELIAU PULA