Pada Hari Arafah tahun ini, entah kenapa aku terdetik hati untuk kembali membuka blog ini. Blog yang menyimpan beberapa cebis kisah hidup aku melalui hasil penulisan aku yang tak seberapa. Membaca beberapa entry dalam blog ni membuatkan aku rasa bersyukur yang aku ada hobi menulis ni dulu-dulu. Sekurang-kurangnya ada perkara lama untuk aku kenang, dan perbaiki untuk masa sekarang.
You have to know the past to understand the present.
Dalam entry blog ini beberapa tahun sudah, aku ada menulis mengenai graf ibadah. Bagaimana graf ibadah aku mencapai kemuncaknya pada ketika aku umur 17 tahun, dan kemudiannya perlahan-lahan turun dan tak naik-naik. Perkara ini membuatkan aku terfikir, sampai bila?
Bila aku akan merasa kembali graf ibadah aku mencapai tahap tertinggi nya?
Sejak aku berumur 17 tahun, aku dah melalui pelbagai fasa dalam hidup. Dah bekerja, kemudian berhenti untuk berbisnes sendiri, kemudian berkahwin, menjadi bapa, bisnes tak menjadi jatuh terduduk sehinggalah sekarang ini Alhamdulillah sudah dikurniakan 3 anak yang mana anak sulung sudah berumur 9 tahun.
Dalam banyak-banyak fasa ini, tiada satu pun fasa yang mana aku mencapai graf ibadah yang boleh menandingi aku ketika di 17 tahun. Ini menurut analisa rawak kepada aku sendiri lah. Membuatkan aku kembali berfikir, fasa mana yang sebenarnya akan menyuntik semangat aku untuk meletakkan ibadah di tahap tertinggi dalam hidup aku ni? Fasa-fasa yang aku lalui tu dah dikira agak besar juga dah dalam hidup seorang lelaki.
Perasaan ini muncul sangat tinggi ketika bulan Ramadan tahun ini. Aku rasa aku dah tak boleh bertangguh lagi. Umur 34 tahun ni, dan mencapai 17 tahun sejak aku berumur 17 tahun haritu. Maka aku rasa aku perlu mula bertindak.
Untuk tahun ini, aku letakkan goals aku untuk khatam Al-Quran. Aku sangat berharap benda ni tercapai, dalam masa sama aku harap anak-anak aku akan terinspirasi juga. Aku dah terlepas untuk khatam bulan Ramadan haritu, jadinya aku harap perkara ini akan terlaksana sebelum akhir tahun ini.
Aku ada tersentak membaca 1 threads daripada random people. Bunyinya lebih kurang begini:
Ayah perlu ada 1 ruang ibadah di rumah. Yang mana anak-anak dah jadi sinonim melihat itu ruang ibadah ayah, dan mereka akan terinspirasi.
Bila fikir balik, ruang ini ada ditunjuk contohnya oleh ayah aku sendiri. Dia memang ada 1 sofa, yang akan dia duduk di situ untuk baca Quran setiap hari. Dan kalau ada rezeki terjaga awal pagi, akan nampak beliau tengah solat di kawasan sama.
Rezeki Tak Terjangka
Bukan dalam goals aku pun untuk meletakkan Puasa Hari Tarwiyah dan Puasa Arafah sebagai salah satu ibadah yang aku terfikir nak lakukan. Mungkin kerana sebelum-sebelum ini aku tak anggap itu satu perkara yang penting. Tahun ini, aku lakukan.
Aku berharap agar dosa-dosaku pada tahun sudah, dan pada tahun akan datang diampunkan oleh Allah SWT. Amin. InshaAllah.
Unexpected achievement aku untuk tahun ini juga ialah aku laksanakan ibadah korban. Ya, ibadah yang tak pernah terfikir aku akan laksanakan selama aku hidup sebelum ini. Tahun-tahun sudah, aku cuma join pelaksanaan ibadah korban ini di kejiranan rumah aku. Tahun ini, Alhamdulillah Allah bagi aku rezeki untuk ada nikmat ibadah korban itu sendiri.
Sejujurnya, aku rasa sangat sebak. Sepanjang aku berbisnes ini, aku pernah ada di satu tahap tinggi dari segi pendapatan aku. Mungkin beberapa tahun lepas. Namun, aku tak laksanakan ibadah korban.
Tahun ini, dengan hampir kesemua bulan setakat ini dalam keadaan defisit, aku dapat laksanakan ibadah ni. Sesungguhnya rezeki itu luas dan tak terjangkau dek akal fikiran.
Aku berharap agak dikurniakan rezeki oleh Allah SWT untuk laksanakan ibadah korban ini sehingga ke akhir hayat aku. Dan juga aku berharap agar Allah tingkatkan lagi pemahaman aku berkenaan ibadah ini setiap kali aku diberi nikmat untuk melakukannya.
Dan terakhir sekali, di hari yang sama aku melakukan ibadah korban, aku diberi kesempatan untuk menyaksikan shahadah saudara baru. Sebak sangat-sangat. Terasa banyaknya dosa diri ini nak dibandingkan dengan beliau yang seperti dilahirkan semula. Seperti kain putih yang tiada kekotoran langsung.
Aidilfitri yang lepas, aku berborak panjang melalui panggilan telefon dengan rakan aku. Beliau dalam fasa nak berputik cinta, dan pasangannya merupakan seorang bukan Islam. Dalam panggilan kami itu banyaknya mengenai shahadah saudara baru, dan betapa tingginya ganjaran pahala yang bakal diterima nanti. Sejak perbualan itu, aku letakkan harapan untuk menjadi saksi kepada shahadah saudara baru ini dengan harapan tempias pahala itu dapat pada aku.
Beberapa hari lepas, aku dan isteri berborak hal sama di Gombak bersama Cikteh dan Cikmat. Betapa besarnya pahala yang boleh kita dapat jika kita berniat membantu seorang bakal saudara baru untuk mengucap dua kalimah Shahadah. Dalam pada pahala yang bakal dapat itu, sudah pasti akan ada usaha yang sangat banyak perlu dilakukan untuk membantu saudara baharu ini.
Dan untuk menjawab ketidakpastian dan soalan-soalan beliau, kita sendiri perlu lengkapkan diri kita dengan jawapan-jawapan agama yang selama ini kita selaku orang yang dilahirkan Islam ini ambil secara remeh. Dan mendengar soalan-soalan beliau, aku rasa malu dengan diri sendiri sebab tak bersungguh memaknai apa ibadah yang selama ini kita lakukan.
Selamat kembali ke Islam, Cade.
Moga aku ada sumbangan dalam usaha kau mempelajari Islam nanti. InshaAllah.
___
Baik, seperti biasa blog ini aku tak ceritakan kepada umum. Mungkin kalau ada orang terdetik hati nak google nama aku, jumpa lah kot. Aku menulis ini sekadar menjadi ingatan untuk aku suatu hari nanti.
Assalamualaikum.
Moga ibadah kita sentiasa ditingkatkan dari hari ke hari.














