Tuesday, January 17, 2017

Bangkok Beragama

Saya dan isteri berkesempatan berkunjung ke Bangkok pada ambang tahun baru 2017 yang lalu sebagai percutian pertama untuk kami berdua. Ianya bolehlah juga dipanggil bulan madu, walaupun pada asalnya trip ini disusun untuk lebih kepada backpacking trip di mana kebanyakan masa kami akan banyak dihabiskan di dalam keretapi, bas dan pengangkutan awam lain. Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, trip yang sepatutnya mengambil masa 6 hari dipendekkan kepada 4 hari sahaja.

Tulisan ini bukanlah tentang kenangan dan perjalanan percutian kami. Tidak sama sekali. Anda tak akan sanggup nak baca, dan anda tak perlu baca pun. Namun tulisan ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri melihat kepercayaan masyarakat Thai khususnya dalam agama dan institusi raja.

Baru-baru ini, Raja Thai yang ke sembilan, King Rama IX telah mangkat pada usia 88 tahun. Beliau sebelum ini memegang rekod sebagai raja paling lama memegang takhta pemerintahan di dunia iaitu selama 70 tahun. Kemangkatan beliau pada Oktober tahun lalu kini menjadikan Ratu Elizabeth sebagai pemegang rekod yang terkini untuk tempoh pemerintahan paling lama.

Sewaktu kami sampai, rakyat Thailand masih lagi dalam tempoh berkabung atas kemangkatan raja mereka. Tempoh berkabung ini dianggarkan akan berlanjutan selama setahun, dengan rakyat Thailand akan mengambil peluang untuk beratur setiap pagi di hadapan istana untuk memberi penghormatan terakhir kepada raja mereka.

Saya tidaklah tahu akan sumbangan dan jasa raja mereka sepanjang tempoh pemerintahan, namun satu perkara yang dapat dilihat dengan jelas di semua tempat di Bangkok itu sendiri ialah potret-potret raja mereka digantung di mana-mana sambil dihias dengan kain dan reben berwarna hitam putih. Mereka sangat cintakan raja dan institusi beraja mereka, dan mereka mempamerkannya dengan bangga. 

Sebelum berangkat ke Lopburi menaiki keretapi (jika di Malaysia ianya seperti KTM Berhad), saya melihat sendiri bagaimana stesen keretapi utama Thailand (seangkatan dengan KL Sentral) memainkan lagu kebangsaan mereka pada pukul 8-830 dan semua hadirin yang ada di stesen itu menghentikan aktiviti masing-masing dan berdiri tegak menyanyikan lagu kebangsaan mereka. Betapa kuatnya semangat nasionalisme dalam diri mereka dan kepercayaan mereka terhadap negara mereka sendiri. Saya terfikir adakah perkara seumpama ini dapat dijalankan di KL Sentral juga, namun saya terfikir juga yang sebelum ini pun ramai orang marah dan memperlekeh lagu Negaraku dipasang di dalam panggung wayang yang audiensnya hanya 30-40 orang. 

Saya juga banyak melihat sami-sami Buddha di tempat-tempat awam berjalan sambil memberi restu kepada orang yang lalu lalang. Sesetengah orang akan menghentikan sami itu dan memohon sami mendoakan perjalanan hidup mereka pada hari itu. Kemudian mereka akan memberi sedekah kepada sami sebelum berlalu pergi. 

 Sepanjang kami berada di sana, kami sempat berkenalan dengan sepasang suami isteri yang bekerja sebagai pemandu pelancong. Mereka mempunyai sebuah van untuk membawa kumpulan pelancong, sebuah teksi untuk membawa seorang dua, dan sebuah tuk-tuk yang digunakan sekitar Bangkok. Pada malam Tahun Baru, saya bertanyakan mereka tentang tempat yang happening untuk melepak sambil menikmati gaya hidup orang Thai. Mereka ada mencadangkan satu dua tempat. Saya bertanyakan pula mereka melepak di mana? Mereka menjawab tenang yang mereka hanya duduk di rumah bersama keluarga, membuat makan-makan dan bersyukur dengan kehadiran tahun baru. Terus saya dan isteri pulang ke bilik hotel.

Sepanjang perjalanan kami menuju ke Damneon Saduak, sebuah perkampungan yang mempunyai pasar terapung yang terkenal terletak kira-kira 200km dari Bangkok, saya tidak henti-henti berborak dengan si suami pemandu pelancong itu.  Bahasa Inggerisnya tidaklah fasih namun katanya, 7-8 tahun membawa pelancong membuatkan dia sudah mampu bertutur dengan baik. Dia cuma tidak boleh menulis dalam Inggeris sahaja. Saya melihat sendiri sewaktu dalam perjalanan, jika melalui kawasan tokong, beliau akan menundukkan sikit kepalanya. Beliau juga ada membeli buah-buahan yang menurutnya untuk dipersembahkan kepada Buddha. Saya tidaklah faham tindakan itu namun seperkara yang saya sangat faham, mereka benar-benar menganuti kepercayaan mereka.

Setiap manusia ada kepercayaan masing-masing. Kepercayaan ini tidak semestinya dalam bentuk agama sahaja, ianya meliputi segenap aspek hidup. Jika percaya usaha keras akan mendatangkan duit, duit akan datang. Jika percaya bersedekah akan mendatangkan duit, duit akan datang. Jika percaya berbuat baik dengan orang lain akan mendatangkan duit, duit akan datang. Dan jika percaya judi dan pertaruhan mendatangkan duit, duit juga akan datang. Begitulah hebatnya kepercayaan. 

Trip ke Bangkok ini membuatkan saya tersedar akan kepercayaan saya sendiri. Dalam agama, kita diminta untuk percaya Tuhan itu Esa dan Muhammad itu pesuruh Allah. Namun sejauh mana kita menzahirkan kepercayaan itu? Untuk percaya Tuhan itu Esa, kita diwajibkan solat lima waktu. Untuk menguatkan lagi kepercayaan, kita dianjur untuk solat lima waktu pada awal waktu. Untuk menambah lagi kekuatan kepercayaan itu, kita dianjur untuk solat lima waktu di awal waktu, berjemaah di surau dan masjid. Jadi, di mana tahap kepercayaan kita. 

Begitu juga dengan rezeki. Kita percaya bahawa rezeki itu datangnya daripada Tuhan ditambah dengan hasil usaha sendiri. Namun berapa peratuskah hasil usaha kita, dan berapa peratus pula hasil keperceyaan rezeki datang dari Tuhan itu? Adakah dua-dua seiringan. Secara jujurnya saya merasai kesan kepercayaan ini dalam diri saya. Kadang kala saya terlalu berusaha menginginkan sesuatu, namun saya tidak dapat memperolehnya. Kenapa? Kerana dalam diri saya sudah diterapkan bahawa rezeki itu datang dari Tuhan dan hasil usaha sendiri. Jadi kenapa saya hanya berusaha dan mengambil lewa suruhan Tuhan pabila mencari rezeki?

Sesungguhnya Bangkok mengajar saya beragama. 

No comments:

Post a Comment