27 Julai 2017.
7.40 pagi
Assalamualaikum. Saya dan isteri seperti biasa
pada pukul 7.40 pagi akan mula keluar dari rumah untuk ke Damansara, tempat
isteri bekerja. Sepanjang kehamilan ini, memang saya yang akan menghantar
beliau hari-hari ke tempat bekerja, kemudiannya barulah saya akan bergerak ke
Rawang, ke Studio Carving Crew Design. Tentang Carving Crew Design, saya tak
sempat huraikan lagi di sini. InshaAllah dalam tulisan seterusnya.
Perjalanan ke kerja haritu bukanlah perjalanan
biasa-biasa. Rumah kami terletak betul-betul di sebelah Bulatan Batu Caves,
maka untuk ke MRR2 dan kemudiannya menuju ke LDP, perlulah melalui bulatan tu
dahulu. Ketika lampu isyarat merah, Belina mula menunjukkan tanda-tanda yang
beliau sakit perut. Katanya ini bukan biasa-biasa. Rasa macam cramp, nak
terbuang air besar yang kerap. Kami anggap benda tu biasalah pada mulanya sebab
biasalah tu pagi-pagi rasa nak buang air besar. Semua orang macamtu.
Tapi sakit tu macam makin kerap dan kerap. Sehinggalah
saya minta Belina call Mama, untuk mendapat kepastian. Mama tiada jawapan
spesifik tentang sakit tu, tapi beliau cakap kalau tak pasti pergilah ke
hospital. Dikala saya perlu memilih untuk terus ke MRR2 atau memilih lencongan
lain menuju ke Hospital Selayang dalam masa 2-3 saat, kami membuat keputusan
untuk ke Hospital Selayang.
8.30 pagi
Saya cuma drop sahaja Belina di Wad Bersalin.
Nak cari parking di Hospital Selayang ni memang boleh bergaduh. Nak cari
parking pagi tu sahaja 2-3 kali tawaf hospital. Settle cari parking, saya terus
bergerak ke tingkat 5 kalau tak silap, iaitu Dewan Bersalin. Cerita punya
cerita di situ, rupanya dah 1cm bukaan. Proses pendaftaran waktu itu pun mudah,
namun nurse sempat mengingatkan Belina agar bawa sekali buku pink dan sijil
nikah semasa ke Dewan Bersalin. Memang betul kami terlupa hal itu. Nurse
menasihati kami untuk pulang sahaja dulu kerana memang tiada katil kosong di
wad untuk berehat. Satu saja pesan doktor,
“Jangan datang selagi air ketuban tak pecah
atau tiada pendarahan."
Jelas sungguh pesanan tu.
Kami pun pulang terus ke Rawang, rumah Mama
Abah Belina. Belina kata sakit tu adalah jugak, tapi tidaklah terlalu sakit
sampaikan tak mampu buat apa-apa.
9.00 malam
Ini cerita selingan saja. Waktu ini kami sempat
ke IKEA beli barang keperluan kerja saya, kemudian Belina dengan selambe pergi
ke ofis kejap sebab nak hand over kerja. Oh lupa, kami memang decide bahawa
keesokan harinya iaitu Jumaat untuk hari terakhir Belina bekerja sebelum mula
cuti bersalin. Namun nampak gayanya cuti tu dah bermula harini disebabkan kes
ke hospital pagi tadi. Duduk kat ofis lama juga, bolehlah kemas mana patut and
kemas folder di desktop bagi orang lain senang nak buat kerja. Kami sampai ke
Rawang malam tu lebih kurang pukul 11 malam.
28 Julai 2017
2.00 pagi
Betul-betul sebelum tidur, Belina keluar dari
bilik air lalu memanggil saya. “Awak, dah berdarah.” Okay itu tanda yang doktor
cakap pagi tadi. Tanpa melengahkan masa, kami bersiap-siap. Beg memang sudah
disiapkan awal lagi, yang dalamnya ada pampers, baju bayi, tuala bayi, kain
batik, baju ibu, seluar dalam pakai buang, tuala wanita untuk bersalin, sijil
nikah, buku pink dan beberapa item lagi.
Mama dan Abah pun kami kejutkan sebab memang
mereka ada pesan kalau nak ke hospital mereka nak ikut. So malam tu kami
bertolak ke Selayang dengan perjalanan kurang dari 15 minit. Alhamdulillah dipermudahkan
kerana jalan memang total lengang. Mama dan Belina terus ke tingkat 5,
sementara saya dan Abah mencari parking. Parking pun mudah malam itu. Waktu nak
naik ke tingkat 5, abah ditahan dan tidak dibenarkan naik kerana prosedurnya
hanya suami dan ibu sahaja dibenarkan menunggu di Wad Bersalin. Abah
kemudiannya tidur sahaja dalam kereta.
Selesai pendaftaran apa semua, kami hanya
menunggu sahaja di kawasan menunggu itu. Orang agak ramai, namun tidaklah
seramai sewaktu kami datang pagi tadi. Ramai juga bakal-bakal ibu yang tertidur
di kerusi, kebanyakan mereka sudah overdue dan masih menunggu bukaan. Pertama
kali dalam 9 bulan, saya dapat melihat Belina betul-betul sakit sewaktu
menunggu itu. Contraction lebih kurang 15 min sekali, dan dia sampai
berpeluh-peluh duduk di kerusi. Nak ditolong pun tak mampu, hanya mampu berada
di sisi saja.
3.30 pagi
Nurse memanggil Belina untuk pemeriksaan dan
menukar baju ke uniform pink. Waktu itu bukaan sudah pun menecah 5cm, dan
Belina dinasihatkan untuk banyak berjalan bagi memudahkan bukaan. Sekali lagi doctor
berpesan dengan jelas,
“Bila betul-betul dah tak tahan baru datang ke
sini semula (kaunter dan bilik pemeriksaan).”
Saya menemani Belina berjalan di sekitar
koridor. Kejap-kejap akan berhenti, terutama sekali bila contraction datang.
Muka akan berkerut-kerut dan berpeluh-peluh. Bila dah habis sakit itu, kami
teruskan berjalan.
Berjalan-berjalan sehinggalah Belina memutuskan
untuk duduk dan tidur di kerusi urut berdekatan. Kerusi urut itu memang dah
rosak, namun itulah kerusi paling selesa di situ. Nak boleh ke tidur itu juga
mengambil masa, kerana contraction makin kerap, dan sakit dan kejang itu makin
menusuk.
5.00 pagi
Terjaga dari tidur dek kerana sakit yang amat
sangat. Kali ini lebih kerap, dan menurutnya lebih sakit. Nak berjalan selepas
itu pun makin kerap berhenti, lalu kami putuskan inilah waktunya. Belina
berjalan seorang menuju ke bilik pemeriksaan, saya hanya mampu memerhati dari
jauh. Bilik pemeriksaan hanya untuk pesakit sahaja.
Agak lama Belina di dalam, sehinggalah saya
terdengar nurse di kaunter menyebut nama Belina, dan akan dihantar ke labour
room dengan segera. Saya kemudian dipanggil ke kaunter untuk mengisi borang pendaftaran.
Nurse memberitahu bukaan sudah 8cm, dan isteri saya akan dihantar ke labour
room 11. Sedang mengisi borang, kelihatan Belina ditolak dengan wheelchair ke
labour room. Rasa sebak itu ada, dalam masa sama rasa takut. Hanya berserah
pada Allah. Badan saya juga dah terasa sejuk.
5.40 pagi
Saya dipanggil ke labour room. Saya menyelak
langsir, dan kelihatan Belina sedang terbaring di katil. Allah, masa itu hanya
Tuhan yang tahu perasaan, melihat isteri sedang dalam persiapan untuk bertarung
nyawa. Bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat kami. Saya kemudiannya berdiri
di sisi, dan hanya mampu melihat sekali sekala isteri saya bertarung dengan
kesakitan contraction. Di labour room itu ada 2-3 orang nurse, yang sentiasa
memantau graf contraction dan jantung. Belina sudah semakin sakit, namun nurse
masih meminta untuk hold sebentar. Contraction terlampau tinggi, dan nurse
seboleh-bolehnya mahu membantu agar kelahiran ini normal kerana ini kelahiran
pertama.
6.20 pagi
Seorang doktor wanita datang untuk memudahkan
proses kelahiran. Nurse di situ mungkin ada dalam 3-4 orang. Saat ini barulah
segala proses bermula..
Sehinggalah saya diminta meninggalkan labour
room sebentar kerana prosedur vacuum perlu dilakukan. Dalam hati, berdoa agar
semuanya selamat.
7.04 pagi
Terdengar dari jauh suara tangisan bayi dari
labour room 11. Alhamdulillah semuanya selamat namun saya masih belum boleh
dipanggil masuk kembali. Hanyalah sekitar 7.30 baru dipanggil masuk, dan
kelihatan Belina terbaring lesu di katil. Bayi masih lagi berada di bilik lain
untuk dibersihkan. Tak lama lepas itu, bayi kami dibawa masuk. Allah sahaja
tahu perasaan kami ketika itu, melihat satu pemberian tidak ternilai harganya
di dunia ini. Inilah mukjizat Tuhan dan tanggungjawab kami berdua untuk dijaga
sehingga ke akhir hayat.
Pengalaman di wad. Jaundice. G6PD Defficiency.
Keluar wad. Layanan staff.
Akan diceritakan pada bahagian seterusnya..
PART 2:
http://ariffash.blogspot.com/2018/01/bersalin-di-hospital-selayang-julai.html
PART 2:
http://ariffash.blogspot.com/2018/01/bersalin-di-hospital-selayang-julai.html