Sunday, October 9, 2016

Main Bola Mesti Nak Score, Begitu Juga Hidup!

Satu konsep asas dalam permainan bola sepak ialah, berusaha menggunakan segala kelebihan yang ada untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Cara untuk mencapai kemenangan hanyalah satu, menjaringkan gol melebihi pihak lawan. 

Bijak Menggunakan Kekuatan

Setiap pihak pasti akan ada kekurangan. Pasukan yang tewas bukanlah pasukan yang hanya ada kekurangan, tapi pasukan yang tidak menggunakan kekuatan tersendiri untuk mengatasi kekurangan itu dan begitulah sebaliknya. Ada pasukan yang menang dengan jaringan 1-0 atau 2-0, dan ada juga yang menang dengan jaringan 6-5. Bagi yang menang 6-5, ternyata mereka punya kelemahan, namun mereka menutupnya dengan kekuatan tersendiri.

Seseorang yang berjaya dalam mana-mana aspek dalam hidupnya pasti tidak lari daripada terkait dengan konsep asas bola sepak itu tadi. Beliau berjaya bukan kerana beliau tidak langsung punya kekurangan namun beliau bijak menggunakan kekuatan yang ada untuk berjaya. Tidak ada manusia yang berjaya hanya dengan bersenang-lenang sahaja, sedangkan untuk perlawanan bola sepak yang penting pun kadang kala memakan masa berbulan-bulan untuk berlatih dan merencana strategi untuk menang.

Maksimakan Setiap Unit

Bagaimana menggunakan kekuatan? Melalui penggunaan maksima setiap perkara yang ada dalam pasukan. Pertahanan menjalankan tugas bertahan dengan baik, pemain tengah menggerakkan pasukan dan penyerang menyudahkan setiap peluang dengan gol. Dan dalam konteks lebih besar, setiap posisi bergerak dan membentuk satu unit yang kuat.

Gunalah setiap inci tubuh anda dengan betul untuk mencapai matlamat. Jika mahu mengangkat benda yang berat contohnya, bukan sahaja kekuatan fizikal yang diperlukan. Kecerdasan minda juga penting, begitu juga dengan penglihatan mata dan lain-lain. Jika mengangkat benda yang berat itu sebenarnya boleh diselesaikan dengan menggunakan mana-mana alatan yang akan membantu, bermakna anda sudah menggunakan kecerdasan minda untuk berfikir.

Bayangkan sibuk mengangkat barang ke hulu ke hilir walhal ada saja kereta sorong di tepi pokok.

Fokus Terhadap Satu Perkara Dahulu

Dalam sesuatu kejohanan atau liga bola sepak, pastinya impian yang mahu dicapai ialah untuk memenangi piala tersebut. Jika tadi kita menyebut tentang cara untuk menang dalam perlawanan ialah dengan menggunakan kekuatan, ia berlainan pula dengan cara untuk memenangi piala. Sesebuah pasukan itu perlu konsisten dan fokus untuk menyelesaikan satu-satu perlawanan dahulu. Setiap perlawanan itu penting, untuk mendapat mata ataupun untuk melayakkan diri ke perlawanan seterusnya. Jadi semua ahli pasukan perlu fokus dan berfikir tentang keutamaan.

Pasukan hanya akan gagal jika terlampau banyak keutamaan diberikan pada satu-satu masa. Baru di peringkat suku akhir sudah sibuk merencara strategi untuk berlawan di separuh akhir. Akibatnya, terkandas di suku akhir dan semuanya hancur.

Di dalam kehidupan kita, pasti akan ada banyak perlawanan-perlawanan yang perlu dihadapi. Kita hanya perlu mengenalpasti perlawanan yang manakah yang kelak akan membantu kita untuk melangkah lebih jauh dalam hidup ini. Barulah kita dapat fokus untuk menyelesaikan sesuatu dengan jaya sebelum melangkah ke matlamat lain.

Ya, memang kadangkala akan ada bermacam-macam perkara yang sama pentingnya datang serentak menyerbu kepala otak. Namun harus diingat, pasukan JDT yang teramat hebat di dunia itu pun boleh menang Liga Super dan Piala AFC pada satu musim.

Justeru, main bola kita memang nak cari jaringan gol, begitu juga hidup. Seperti bola sepak, gol hanya satu. Maka tetapkan matlamat kita untuk menjaringkan gol itu dahulu. Jika sudah menang, akan ada perlawanan lain menanti, dan semestinya kita kena sumbat gol lagi.

Barulah menang piala!



No comments:

Post a Comment