0007 Jumaat 28 October 2016
Tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk aku bergelar seorang suami. Countdown yang sentiasa diupdate oleh tunang aku, Belina melalui apps dalam phone nya setiap hari bermula ratus-ratus hari dulu kini tinggal 0. Sungguh aku tak sangka. Mengikut waktu aku menulis sekarang, ini ialah malam terakhir aku selaku seorang bujang. 24 tahun, dan kemudiannya akan melangkah fasa paling penting dalam kehidupan seseorang manusia. Aku masih tidak percaya.
Hujung tahun, 2015.
Setelah beberapa kali siri perbincangan dengan Belina, akhirnya aku memutuskan untuk memberitahu ayah tentang hasrat untuk berumah tangga. Sungguh, malam sebelum aku menyampaikan hasrat itu, aku tidak boleh tidur. Macam-macam perkara aku fikirkan. Adakah aku sudah layak bergelar seorang suami dan ketua keluarga? Stabil kah kewangan aku untuk membina kehidupan baru? Semuanya berlegar di fikiran sepanjang malam.
Aku mengaku, aku tidak mempunyai wang yang banyak. Aku tidak punya kemewahan, barang-barang aku semua aku catu. Sebenarnya sudah tidak terkira berapa banyak kali kah aku pergi ke kedai atau hendak ke kedai, yang akhirnya berkahir dengan aku akan patah balik kerana tiba-tiba aku berasa yang duit untuk membeli barang itu boleh aku gunakan untuk benda lain. Handphone yang aku ada sekarang ialah yang paling rendah martabat dalam keluarga besar aku. Bahkan mungkin harta-harta lain juga.
Jadi sebenarnya bersediakah aku untuk menyara kehidupan aku dan isteri? Aku tidak ada jawapan waktu itu, bahkan sehingga ke saat ini aku masih tidak punya jawapan yang tepat. Namun aku gagahkan diri untuk memberitahu hasrat ini, dan selepas aku menyampaikan hasrat, alhamdulillah ayah dan ibu menerima dengan positif. Selesai satu ketakutan.
Namun, dalam menyampaikan berita ini kepada keluarga besar, aku menghadapi sedikit konflik yang aku sendiri cipta. Jujur, aku berasa takut untuk memberitahu hal ini kepada mereka semua kerana aku tahu dari banyak aspek aku masih kurang. Adakah mereka boleh menerima seseorang yang nampak tidak bersedia ini untuk menjadi suami orang? Aku memang takut untuk bercerita. Dan pada waktu ini, berlaku sedikit konflik. Memang salah aku, yang gagal dalam menyampaikan hal dengan baik. Namun, akhirnya semua dapat diselesaikan dengan baik dan aku tidak lupa untuk berterima kasih kepada semua yang menerima dengan hati terbuka dan membantu aku untuk segala persediaan yang akan datang.
Rombongan awal diketuai ayah, ibu beserta ayahlong dan ciklong bertandang ke rumah Belina untuk sesi merisik. Ketika sesi berlangsung, aku melepak di Tesco bersama Im dan Luqman yang sibuk nak main arcade.
Tunang. Secara rasminya aku sudah bertunang. Selangkah ke arah merealisasikan masjid yang bakal dibina. Ketika ini, keluarga sebelah arwah mak dan keluarga mama (orang yang menjaga aku sejak kecil) bersama-sama dalam rombongan ke Rawang. Alhamdulillah majlis berjalan lancar semuanya. Terima kasih kepada semua yang membantu saat ini dan akan membantu lagi dalam persiapan perkahwinan nanti. Tarikh yang ditetapkan ketika ini ialah 28 Oktober untuk akad nikah, 29 Oktober untuk majlis sebelah perempuan dan 5 November untuk majlis sebelah lelaki.
Disebabkan UIA convo pada 5 November, kami semua mengambil keputusan untuk membawa ke hadapan seminggu untuk majlis di Kuantan iaitu 12 November.
Untuk nampak terletak cantik dalam phone, sila buka melalui Iphone 6
Ada banyak perkara yang masih aku tak bersedia. Antaranya berkaitan tempat tinggal. Tempat tinggal yang aku sewa sekarang masih kosong, tidak berbarang, memang hanya boleh dikatakan ada bumbung untuk kami suami isteri tidur nanti. Itu sahaja.
Namun yang paling aku fikirkan ialah untuk meninggalkan rumah Cikteh yang aku diami sejak setahun lebih lepas. Sebelum ini memang sudah aku duduk di sini namun lebih kepada on off kerana duduk di uia dan sekolah di Seremban, namun sejak bekerja setahun lepas inilah rumah aku, tempat aku tidur, makan, berehat dan segalanya. Aku tidak kata aku sukar untuk berpindah ini kerana lepas ini makan aku mungkin tak sesedap sekarang, tilam aku mungkin tak empuk atau rumah tidak ada internet laju, tidak, bukan semua itu. Aku akan rasa sukar kerana pengorbanan Cikteh dan Cikmat serta seluruh ahli keluarga yang memberi aku tempat tinggal dan menganggap aku sebahagian daripada keluarga ini.
Itu sangat mengharukan aku.
Bagaimana untuk aku membalas jasa-jasa mereka semua? Dalam satu aspek, aku rasa aku perlu tinggal lagi dan berbakti dengan mereka. Apa sahaja aku boleh tolong aku akan tolong. Namun dalam aspek lain aku akan ada kehidupan baru yang aku sendiri kemudi. Ibarat sebuah kapal besar di laut bergelora, aku akhirnya dilepaskan ke laut untuk menjadi kapten kapal kecil aku. Bukan laut itu yang aku tidak sanggup tempuh, namun jasa kapal yang besar itu membentuk jati diri aku untuk berdikari yang aku tak tahu bagaimana untuk balas.
Aku perlu kuatkan azam. Apa jua yang berlaku, keluarga mesti aku utamakan. Kerana mereka yang membentuk aku untuk mengemudi kehidupan kecil aku, kenapa tidak aku datang kembali untuk membantu menolong kerja-kerja di kapal besar mereka.
Aku sangat sebak sekarang dengan pengorbanan semua orang terhadap aku.
Aku dah tak mampu menulis.
Ya Allah ampunilah dosa-dosa mereka yang banyak membimbing dan membantu aku.