Sunday, August 28, 2016

Struggle is Real v1.0

Masuk kerja hujung minggu bukanlah satu perkara yang sedap, terutama sekali bila kerja itu memang tidak 'in' dengan diri anda. Ini yang aku hadapi hari ini, dan sebelum ini juga selalu aku masuk kerja hujung minggu ini. Aku sememangnya tak suka dan tak mahu terbabit dengan kerja hujung minggu, sedangkan kerja waktu biasa 9 pagi hingga 6 petang setiap hari pun sudah banyak menyeksa jiwa dan raga aku.

Mesti anda semua selalu baca, buatlah kerja yang anda suka, nescaya anda tidak akan bekerja setiap hari. Okay itu satu. Ada juga nasihat yang berbunyi, kenapa buat kerja itu kalau kau tak suka? Kenapa nak kena seksa diri sendiri? Sejujurnya, aku tidak ada jawapan lagi untuk itu dan aku harap biarlah aku seorang sahaja dalam dunia ni yang masih tidak ada jawapan. Kalau boleh biarlah semua orang lain gembira dengan kerja dan hidup masing-masing sebab aku tahu perasaannya membuat perkara yang kau tak suka tapi kau tiada jawapan kenapa kau terus melakukannya.

Umpama seekor lembu yang dicucuk hidung, hanya menurut arahan tanpa mengerti kenapa kau menurut arahan. Aku sejujurnya sudah hampir capai limit untuk terus menyeksa diri sendiri ini, tapi aku masih tidak lagi mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri dan membuat keputusan yang besar dalam hidup aku. Aku sentiasa rasa aku tak mampu untuk mengubah nasib aku sendiri, walaupun aku tahu orang sekeliling aku ada sahaja yang berharap aku dapat melepaskan diri aku daripada sangkar keliling aku. Jauh dari sudut hati aku percaya mereka di sekeliling tahu aku dalam keadaan terseksa namun mereka dan aku sendiri percaya hanya aku yang perlu membuat keputusan hidup itu.

Sebelum aku pergi lebih jauh, aku mahu bercerita tentang keadaan ofis aku sekarang yang aku percaya tidak ada sebarang masalah untuk mana-mana manusia untuk kekal bekerja dalam suasana kondusif. Masalah itu hanya datang dari dalam diri aku. Aku tak enjoy. Ini bukan cara hidup aku. Aku tidak berniat untuk terus hidup dalam belenggu drawing dan autocad setiap hari, kerana itu sememangnya bukan aku. Aku tidak mahu hidup di meja sendiri setiap hari. Malah jujur aku katakan aku tidak lah rasa bangga jika pergi bekerja itu ada meja sendiri, 'workstation' sendiri dengan monitor dan kertas bertimbun di atas meja dan duduk di depan meja sepanjang hari. Itu bukan suatu yang aku banggakan! Langsung! 

Aku lebih bangga jika kerja aku itu memerlukan aku berada di merata-rata tempat, bangun 3-4 pagi untuk travel ke tempat lain, tidur 1-2 pagi kerana baru pulang dari kawasan yang lain bertemu sesiapa dan berurusan, dan yang paling penting sentiasa berinteraksi dan diberi peluang untuk sentiasa berkomunikasi dengan cara yang bijak. Itu aku mahu. Aku rindu sewaktu hidup aku zaman belajar, di mana aku dikenali dengan seorang yang boleh dan mampu untuk membuat presentation dan bercakap di khalayak dengan lancar. Itu lebih menarik! Kau membina keyakinan diri! Keyakinan diri bukan dibina di hadapan pc dari pagi hingga petang. Dan untuk aku pula aku yakin keyakinan diri agak lambat dibina dengan menghadiri mesyuarat setiap minggu dan bertemu orang. Aku mahu hari-hari bertemu dan belajar daripada orang. Itu jauh lebih hebat!

Aku perlukan semangat itu dalam diri aku. Aku perlukan satu tumbukan ke muka untuk membolehkan aku keluar dari belenggu yang aku sangat rimas berada di dalamnya. Aku masih mencari-cari kekuatan namun kadang-kadang aku percaya juga yang kekuatan aku semakin hari semakin terhakis kerana sibuk duduk di hadapan pc setiap hari. Aku tak dapat bina kekuatan diri dengan cara itu. 

Buat masa sekarang untuk jangka pendek, aku target aku akan berada di ofis sama hingga awal tahun depan. Kenapa? Pertama sekali, kerana aku akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung bulan 10 jadi ini bukanlah masa tepat untuk menukar kerja. Aku perlukan keadaan hidup yang stabil, cuti yang dah dikumpul serta wang. Namun aku sentiasa berharap agar jika ada rezeki aku dapat keluar awal dan mula membina keyakinan diri aku melalui pekerjaan yang aku gemar. Aku sentiasa berharap agar lebih serius menguruskan kereta sewa, namun aku perlu untuk sekurang-kurangnya mempunyai seorang partner yang bijak dalam hal ini. Aku enjoy kereta sewa kerana aku dapat ke mana-mana dan berjumpa ramai orang dan belajar dari jalanan.

Ya! Itulah keyword untuk apa yang aku mahu lakukan dalam hidup ini.

Belajar dari jalanan.

Setakat aku cek post aku melalui blog ini, memang hampir tiada reader. Okaylah, sebab aku menulis bukan untuk mendapat penghargaan orang, aku cuma merasakan jari-jari aku seakan gembira untuk menjadi medium aku meluahkan perasaan. Aku juga, seperti apa aku pernah tulis sebelum ini, gemar dengan bunyi jari-jari aku menaip. Jadi jika anda terbaca post ini secara tidak sengaja, harap anda semua doakan yang terbaik untuk aku. 

Aku tak malu untuk mengaku aku ini serba serbi kurang. Sebab sekurang-kurangnya aku dah lepaskan beberapa peratus masalah dalam fikiran aku ke keyboard. Aku gembira begitu. 

Sekurang-kurangnya adalah gembira sikit dalam sangkar kerimasan ini.

No comments:

Post a Comment