Wednesday, August 31, 2016

Kepercayaan

"Solat on off, mulut tak berhenti mencarut, tapi hidup senang, bisnes maju. Macam mana tu?"

Kepercayaan

Lain orang lain kepercayaan masing-masing. Kepercayaan yang dimaksudkan di sini bukanlah terhad kepada agama dan Tuhan sahaja, namun kepercayaan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Kepercayaan yang disandarkan terhadap sesuatu, contohnya untuk mendapatkan sesuatu kita perlu berusaha bagi mendapatkannya mengikut cara kita sendiri. Itu adalah kepercayaan kita, dan juga logik untuk sesuatu perkara. Kita takkan dapat kalau kita tak berusaha mendapatkannya mengikut apa yang kita rasa betul, bukan? Namun bagaimana kita berusaha itu?

Kita ambil analogi mudah berkaitan wang. Semua orang perlukan wang, dan semua orang akan bertindak dan berusaha untuk mendapatkannya mengikut cara masing-masing. Bagi seseorang yang bekerjaya, tidak kiralah makan gaji ataupun berniaga sendiri, cara untuk mendapatkan wang adalah dengan bekerja dan menunggu hasilnya di kemudian hari. Bagi seorang anak kecil ke sekolah, cara untuk mendapatkan wang ialah menunggu ibu bapa memberi wang saku ke sekolah. Bagi yang dapat secara harian, mereka akan menunggu setiap pagi. Bagi yang dapat secara mingguan pula, mereka akan menunggu setiap pagi Isnin dan kemudiannya mereka perlu bijak berbelanja bagi mencukupkan penggunaan nilai wang itu untuk seminggu. Dan begitulah seterusnya.

Dialog di atas akan mula timbul apabila kita berasa tidak senang dengan kemewahan orang lain. Aku bekerja, dia pun bekerja, tapi kenapa dia lebih senang? Aku bersusah payah untuk mencari duit, dia juga nampak bersusah payah untuk mencari duit, tapi kenapa dia lebih senang? Yang paling penting, aku lebih elok perangai daripada dia, dia pula gemar berhibur, mulut tak berhenti mencarut, tapi kenapa dia lebih senang?

Ini semua adalah berdasarkan kepercayaan masing-masing. 

Dia yang berduit tadi percaya bahawa untuk hidup senang, dia perlu berusaha keras mencari duit. Dia perlu fokus untuk bagaimana dia akan sentiasa dapat meningkatkan simpanan kewangan dia. Dia sangat-sangat percaya yang kerja keras, bangun pagi balik lewat malam dan bekerja hujung minggu adalah kunci kepada limpahan rezeki dan wang yang banyak. Tiada yang salah dalam kepercayaan dia itu, dan sememangnya dia telah buktikannya. 

Manakala untuk mereka yang merungut dan membandingkan kemewahan orang lain pula, dia perlu periksa semula kepercayaan diri dia. Adakah dia percaya bahawa untuk mendapatkan rezeki yang melimpah ruah, dia perlu bekerja keras setiap hari, balik lewat malam, bersengkang mata dan sebagainya. Secara logiknya, ya. Memang itu yang perlu dilakukan dan semestinya dia percaya perkara yang sama. Namun kenapa dia tidak memperoleh seperti apa yang seorang lagi peroleh?

Dia ada kepercayaan lain.

Di dalam hati dia, dia tahu yang kunci kepada segala pintu rezeki sebenarnya bergantung kepada keikhlasan mencari wang dan redha daripada Tuhan. Di dalam hati dia, dia tahu bahawa segala kerja keras itu hanya akan terbalas jika disertakan dengan doa dan kesungguhan dalam beribadat. Mungkin ini yang menyebabkan dia kelihatan kurang berbanding yang seorang lagi. Mungkin dia kurang dalam berbicara dengan Tuhan walaupun itu dia tahu merupakan kunci kepada kesenangan.

Secara mudah, yang seorang ada satu cara untuk capai misi dan dia bersungguh sehingga akhirnya tercapai.

Yang seorang lagi, ada dua cara untuk capai misi namun kurang bersungguh dalam salah satu cara menyebabkan ianya tidak tercapai. Cuba bayangkan jika dia berjaya guna kedua-duanya, tidakkah misi yang dituju itu menjadi dua kali lebih hebat?

Sunday, August 28, 2016

Struggle is Real v1.0

Masuk kerja hujung minggu bukanlah satu perkara yang sedap, terutama sekali bila kerja itu memang tidak 'in' dengan diri anda. Ini yang aku hadapi hari ini, dan sebelum ini juga selalu aku masuk kerja hujung minggu ini. Aku sememangnya tak suka dan tak mahu terbabit dengan kerja hujung minggu, sedangkan kerja waktu biasa 9 pagi hingga 6 petang setiap hari pun sudah banyak menyeksa jiwa dan raga aku.

Mesti anda semua selalu baca, buatlah kerja yang anda suka, nescaya anda tidak akan bekerja setiap hari. Okay itu satu. Ada juga nasihat yang berbunyi, kenapa buat kerja itu kalau kau tak suka? Kenapa nak kena seksa diri sendiri? Sejujurnya, aku tidak ada jawapan lagi untuk itu dan aku harap biarlah aku seorang sahaja dalam dunia ni yang masih tidak ada jawapan. Kalau boleh biarlah semua orang lain gembira dengan kerja dan hidup masing-masing sebab aku tahu perasaannya membuat perkara yang kau tak suka tapi kau tiada jawapan kenapa kau terus melakukannya.

Umpama seekor lembu yang dicucuk hidung, hanya menurut arahan tanpa mengerti kenapa kau menurut arahan. Aku sejujurnya sudah hampir capai limit untuk terus menyeksa diri sendiri ini, tapi aku masih tidak lagi mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri dan membuat keputusan yang besar dalam hidup aku. Aku sentiasa rasa aku tak mampu untuk mengubah nasib aku sendiri, walaupun aku tahu orang sekeliling aku ada sahaja yang berharap aku dapat melepaskan diri aku daripada sangkar keliling aku. Jauh dari sudut hati aku percaya mereka di sekeliling tahu aku dalam keadaan terseksa namun mereka dan aku sendiri percaya hanya aku yang perlu membuat keputusan hidup itu.

Sebelum aku pergi lebih jauh, aku mahu bercerita tentang keadaan ofis aku sekarang yang aku percaya tidak ada sebarang masalah untuk mana-mana manusia untuk kekal bekerja dalam suasana kondusif. Masalah itu hanya datang dari dalam diri aku. Aku tak enjoy. Ini bukan cara hidup aku. Aku tidak berniat untuk terus hidup dalam belenggu drawing dan autocad setiap hari, kerana itu sememangnya bukan aku. Aku tidak mahu hidup di meja sendiri setiap hari. Malah jujur aku katakan aku tidak lah rasa bangga jika pergi bekerja itu ada meja sendiri, 'workstation' sendiri dengan monitor dan kertas bertimbun di atas meja dan duduk di depan meja sepanjang hari. Itu bukan suatu yang aku banggakan! Langsung! 

Aku lebih bangga jika kerja aku itu memerlukan aku berada di merata-rata tempat, bangun 3-4 pagi untuk travel ke tempat lain, tidur 1-2 pagi kerana baru pulang dari kawasan yang lain bertemu sesiapa dan berurusan, dan yang paling penting sentiasa berinteraksi dan diberi peluang untuk sentiasa berkomunikasi dengan cara yang bijak. Itu aku mahu. Aku rindu sewaktu hidup aku zaman belajar, di mana aku dikenali dengan seorang yang boleh dan mampu untuk membuat presentation dan bercakap di khalayak dengan lancar. Itu lebih menarik! Kau membina keyakinan diri! Keyakinan diri bukan dibina di hadapan pc dari pagi hingga petang. Dan untuk aku pula aku yakin keyakinan diri agak lambat dibina dengan menghadiri mesyuarat setiap minggu dan bertemu orang. Aku mahu hari-hari bertemu dan belajar daripada orang. Itu jauh lebih hebat!

Aku perlukan semangat itu dalam diri aku. Aku perlukan satu tumbukan ke muka untuk membolehkan aku keluar dari belenggu yang aku sangat rimas berada di dalamnya. Aku masih mencari-cari kekuatan namun kadang-kadang aku percaya juga yang kekuatan aku semakin hari semakin terhakis kerana sibuk duduk di hadapan pc setiap hari. Aku tak dapat bina kekuatan diri dengan cara itu. 

Buat masa sekarang untuk jangka pendek, aku target aku akan berada di ofis sama hingga awal tahun depan. Kenapa? Pertama sekali, kerana aku akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung bulan 10 jadi ini bukanlah masa tepat untuk menukar kerja. Aku perlukan keadaan hidup yang stabil, cuti yang dah dikumpul serta wang. Namun aku sentiasa berharap agar jika ada rezeki aku dapat keluar awal dan mula membina keyakinan diri aku melalui pekerjaan yang aku gemar. Aku sentiasa berharap agar lebih serius menguruskan kereta sewa, namun aku perlu untuk sekurang-kurangnya mempunyai seorang partner yang bijak dalam hal ini. Aku enjoy kereta sewa kerana aku dapat ke mana-mana dan berjumpa ramai orang dan belajar dari jalanan.

Ya! Itulah keyword untuk apa yang aku mahu lakukan dalam hidup ini.

Belajar dari jalanan.

Setakat aku cek post aku melalui blog ini, memang hampir tiada reader. Okaylah, sebab aku menulis bukan untuk mendapat penghargaan orang, aku cuma merasakan jari-jari aku seakan gembira untuk menjadi medium aku meluahkan perasaan. Aku juga, seperti apa aku pernah tulis sebelum ini, gemar dengan bunyi jari-jari aku menaip. Jadi jika anda terbaca post ini secara tidak sengaja, harap anda semua doakan yang terbaik untuk aku. 

Aku tak malu untuk mengaku aku ini serba serbi kurang. Sebab sekurang-kurangnya aku dah lepaskan beberapa peratus masalah dalam fikiran aku ke keyboard. Aku gembira begitu. 

Sekurang-kurangnya adalah gembira sikit dalam sangkar kerimasan ini.

Tuesday, August 23, 2016

A.Ash Design: Piala Kebangsaan 2016



Untuk Piala Kebangsaan (Negeri Sembilan), IKMAL FC bertemu Ansara Serting bagi penentuan johan bagi Negeri Sembilan. Johan akan melayakkan diri untuk bertemu dengan johan bagi negeri lain bagi merebut Piala Kebangsaan.

Untuk sebarang tempahan dan design rilek-rilek, boleh hubungi saya.


Ariff Ashman
014-5327392
ariff.ashman@gmail.com

Thursday, August 11, 2016

First Timer

Di usia yang baru menginjak 24 tahun, termasuk pengalaman setahun bekerja di architecture firm dan sebelum ini setahun tambah waktu pengajia kerana repeat subjek, aku dah dapat kenalpasti satu masalah dalam diri aku. Kekurangan lah katanya.

Aku jenis manusia yang tidak boleh buat sesuatu kerja dengan baik pada kali pertama. Aku akan fail teruk, atau dalam kata lain, kerja itu memang tak akan lengkap dan seringkali menghampakan orang lain. Banyak kali dah perkara sebegini berlaku dan aku perlahan-lahan mula menyedarinya.

Contohnya kalau di tempat kerja, kerja yang pertama kali aku buat pasti akan mengambil masa yang sangat lama dan selalunya tidak akan lengkap. Selalunya kerja itu akan disambung orang lain ataupun dan aku terasa sangat useless hidup di dunia ini. Kalau di rumah pula, kerja-kerja bertukang ataupun kerja-kerja rumah yang biasa semuanya aku akan fail buat kali pertama. 

Dari segi bisnes dan kemahiran berkomunikasi, aku selalunya akan menyesal selepas melakukan sesuatu transaksi ataupun selepas berkomunikasi dengan seseorang kali pertama. Selalunya sewaktu berjumpa dengan orang lain, aku agak sukar memulakan perbualan dan kalau berbual pun aku tidak pandai direct perbualan itu kepada sesuatu yang menarik. Bila dah habis berbual, baru aku akan analyse satu persatu dan mula sedar salah aku.

Begitu juga bisnes. Urusan jual beli pertama aku memang akan fail. Baru-baru ini aku buat jersi untuk team aku guna kaedah sublimation. Hasilnya jersi tu tak cantik. Ini kali perama aku guna kaedah ini. Kalau bab tawar menawar beli barang pulak jangan cakaplah. Memang hancur. Aku memang tiada kemahiran sebab selalunya setiap barang yang aku nak beli ialah barang pertama kali beli dan barang yang selalunya aku beli pulak memang jenis harga fixed. Haha.

Aku perasan aku hanya akan mula berjaya membuat sesuatu kerja itu dengan hasil yang baik dan cantik hanyalah apabila aku repeat banyak kali kerja itu. Dari segi time consuming, semestinya aku akan banyak rugi. Untuk mendapatkan sesuatu hasil yang baik yang boleh dilakukan oleh orang lain dengan satu dua kali cubaan, aku perlu mengambil 10 kali cubaan contohnya. Dari segi kepercayaan, aku sering kali akan hilang kepercayaan daripada orang lain kerana execution aku terhadap sesuatu kerja itu hancur saat aku menyempurnakan kerja. Dari situ aku sudah tidak dapat kepercayaan orang.

Aku baru teringat. Bab gagal kali pertama ini juga aku boleh relate dengan cara aku menyampaikan maklumat. Aku masih ingat dan akan ingat sampai mati bagaimana cara aku menyampaikan hasrat aku untuk berkahwin kepada keluarga besar aku. Memang hancur teruk dan aku rasa aku telah menghampakan semua orang dengan cara aku itu. Perlukah diceritakan? Tidak perlu rasanya tapi bagi sesiapa yang nak tahu dan elak dari buat macam aku boleh contact.

Sememangnya ini sesuatu kekurangan aku yang sangat jelas. Disebabkan ini aku hilang kepercayaan daripada orang, seringkali gagal, tidak termotivasi untuk mencuba benda baru dan macam-macam lagi.

Apa yang aku boleh lakukan hanyalah kuatkan azam untuk mencuba setiap perkara dan konsisten melakukannya jika benar-benar komited. Itu sahaja. Sebab untuk pertama kali aku akan gagal, maka aku sudah tahu untuk kali kedua dan ketiga aku tidak sepatutnya gagal lagi. Jadi kenapa tidak aku teruskan.

Aku hanya perlu buang rasa takut mencuba itu, dan paling penting, cuba sedaya mungkin untuk meminimumkan peratus hilangnya kepercayaan orang kepada aku. Banyak cara aku boleh buat. Antaranya, cari orang berpengalaman. Itu jugak susah tu sebab aku fail untuk berkomunikasi kali pertama! Haha. 

Bye!

Tuesday, August 9, 2016

A.Ash Design: MRSM Kter Reu'16

Ini merupakan design terbaharu saya untuk program reunion MRSM Kuala Terengganu 1985. Semoga majlis mereka berjalan lancar dan penuh dengan gelak tawa.




Untuk design rilek-rilek,

014-5327392
Ariff Ashman
ariff.ashman@gmail.com