Wednesday, September 5, 2018

Malaysia, KLCC dan Pelancongan Seni Bina


Pengumuman mengenai projek HSR sebelum PRU-14 oleh mantan Perdana Menteri DS Najib Razak agak mengujakan saya terutama sekali selepas melihat rekaan-rekaan senibina setiap stesen yang bakal dibina dari Kuala Lumpur sehinggalah ke Johor. Sudah lama sebenarnya saya teringin untuk melihat negara kita Malaysia mempunyai bangunan dengan rekaan futuristik dan paling penting merupakan sebuah tempat untuk orang awam. Ya, di Malaysia mungkin sudah banyak rekaan rekaan moden dan canggih, namun kebanyakannya ialah tempat persendirian, ataupun tempat untuk golongan-golongan elit dan ahli-ahli sesuatu organisasi sahaja.




Rakyat tidak dapat merasa kenikmatan mempunyai bangunan yang cantik dan moden, walaupun hari-hari dalam pandangan tatkala melalui jalan raya dalam perjalanan ke tempat kerja. Mujur KLCC itu ada pusat beli-belah dan juga taman di sekelilingnya, kalau tidak kebanggaan rakyat Malaysia itu hanya boleh dinikmati orang-orang Petronas sahaja (ataupun orang yang mampu menonton okestra di Dewan Filharmonik).

Di Malaysia, pelancongan berasaskan seni bina (tourism architecture) agaklah tidak terlalu berjaya. Sebenarnya tidak perlu bercakap tentang pelancongan pun, seni bina dan bangunan yang cantik sebagai tempat tumpuan orang awam tempatan pun agak kurang. Yang paling berjaya tentulah KLCC di mana orang datang untuk menikmati suasana (feel) sekitar seni bina konkrit tersebut. Elemen lanskap di sekeliling taman serta pusat beli-belah di situ menambah keseronokan orang untuk berkunjung ke menara berkembar kebanggaan negara itu.

Selain KLCC, apa lagi? Masjid Negara. Ya, Masjid Negara sememangnya suatu lagi seni bina unik yang juga menjadi tempat tumpuan pelancong. Pelancong memang datang semata-mata untuk menikmati keindahan seni reka bangunan tersebut, dengan bentuk bumbungnya yang unik hinggalah kepada kawasan persekitarannya yang menarik untuk dijelajahi (walking distance dengan Taman Tasik Perdana, Muzium Kesenian Islam, Taman Burung dan lain-lain). Dari aspek Tourism Architecture, Masjid Negara memang berjaya, namun kurangnya ia daripada KLCC ialah aspek tumpuan masyarakat tempatan. Masjid Negara itu sendiri gagal menarik Jemaah tempatan lebih-lebih lagi pada hari minggu, mungkin kerana lokasi masjid yang terletak bukan berhampiran dengan kawasan tempat tinggal. Ianya hanya sibuk pada hari bekerja, dipenuhi warga kota yang bekerja berhampiran. Hari minggu hanya dipenuhi pelancong, sekali pandang seperti kawasan itu bukan di Malaysia.



Bangunan apa lagi yang menarik? Istana Budaya? Ianya bukan untuk dinikmati oleh semua rakyat jelata, cumanya lokasi bangunan tersebut yang berhampiran Taman Tasik Titiwangsa yang sibuk menjadikan ia sebagai salah satu ‘background’ ketika mengambil gambar.

Bangunan Sultan Abdul Samad? Dataran Merdeka juga agak berjaya dalam menarik minat rakyat jelata untuk menikmati angin petang dan malam. Walaupun bangunan itu sendiri tidak dapat dinikmati oleh orang ramai, namun fungsi bangunan itu sebagai backdrop yang gah kepada tempat bersantai orang ramai berjaya menjadikan ia sebagai satu tarikan. Ditambah lagi dengan bangunan-bangunan di sekitar yang masih lagi dapat mengekalkan identiti sejarah di Malaysia termasuklah Masjid Jamek. Mungkin apabila projek transformasi River or Life siap sepenuhnya nanti, tempat ini bakal menarik minat lebih ramai orang tempatan dan pelancong luar negara?

Mungkin ada banyak lagi bangunan yang cantik dan unik di Malaysia ataupun di sekitar Kuala Lumpur yang berpotensi dibangunkan sebagai tempat Tourism Architecture. Menara KL misalnya memang dinikmati oleh pengunjung luar negara, namun dari segi sambutan masyarakat setempat kepada kawasan itu tidaklah memberangsangkan. Antara bangunan dengan reka bentuk unik yang juga tersergam di Kuala Lumpur ialah Perpustakaan Negara, namun apalah gunanya Perpustakaan Negara jika Kinokuniya di KLCC lebih reliable.

Semalam berita mengenai HSR ini muncul semula. Kemungkinan ia masih akan diteruskan, cuma pembinaannya tidaklah seawal yang dirancang. Mungkin tahun 2020 baru bermula. Harapan saya cuma satu, reka bentuk awal yang dipamerkan itu dapatlah setidak-tidaknya 70% dikekalkan kerana negara kita sememangnya memerlukan bangunan unik yang gah dan cantik, apatah lagi apabila bangunan itu bakal dimanfaatkan oleh semua rakyat jelata.

Bayangkan anda berada di dalam bangunan ini, memandang ke atas dan teruja melihat structure bumbung yang menawan.

Kita perlu mengangkat martabat seni bina dalam negara kita sendiri, dan dengan memberi rakyat merasa suasana dan memegang sendiri bangunan tersebutlah baru mereka akan menghargai kepentingan industri seni bina. Semua orang perlu ada kesedaran, bangunan yang bakal dinikmati oleh orang awam perlu ada nilai estetikanya sendiri, bukan sekadar dibina hanya untuk berfungsi sahaja.