PRU-14 telah membawa angin perubahan yang baru kepada warga Malaysia. Buat pertama kalinya Malaysia ditadbir oleh golongan pemerintah bukan daripada Barisan Nasional setelah hampir 60 tahun. Walaupun pemerintah bertukar, pemimpin baru mengambil tempat, golongan designer (termasuk arkitek) kekal sebagai mereka yang hanya menerima keputusan.
Saya merupakan lepasan jurusan seni bina, dan sejurus graduasi bekerja di firma arkitek untuk tempoh masa hampir 2 tahun. Selepas itu mengambil keputusan berani untuk menubuhkan syarikat sendiri yang berpaksikan industri laser cut dan engraving, bersama beberapa rakan di Rawang. Sejak dari kecil saya gemar untuk mengambil tahu hal-hal politik semasa termasuk juga dengan hal-hal hiburan dan sukan, maka tulisan ini merupakan beberapa pandangan saya tentang karier arkitek dan designer di Malaysia serta peranan mereka dalam lanskap pembangunan negara ini.
1- Arkitek atau seni bina merupakan satu bidang professional yang mana terlibat dalam mereka bentuk bangunan dan perancangan sesuatu kawasan. Bidang ilmu profession arkitek itu luas, kerana mereka mengambil tahu akan keperluan penduduk setempat sebelum membangunkan sesuatu kawasan, undang-undang tanah dan pembangunan, teknik mereka bentuk yang memberi keselesaan kepada fizikal dan emosi, serta aplikasi terhadap teknologi-teknologi terkini di pasaran. Sekali pandang, seorang arkitek itu kelihatan menyeluruh ilmunya, tapi entah mengapa peranan arkitek mahupun designer di pentas yang lebih besar di negara ini seperti tidak kelihatan.
2- Selalunya apabila arkitek menyiapkan reka bentuk, proses untuk memuktamadkan itu terletak di tangan pemaju ataupun pihak pembangunan kerajaan. Maka, segala proses yang dilakukan bagi menghasilkan sesebuah reka bentuk itu boleh jadi diterima ataupun tidak diterima, bergantung kepada bagaimana idea itu dipersembahkan. Di pihak pemaju pula, selalunya jika ada arkitek di sana, pemaju akan mengambil kira pelbagai aspek lagi terutamanya dari segi ekonomi dan pemasaran. Di sinilah peranan arkitek dan design selalunya akan diketepikan. Sama ada arkitek terlebih design, ataupun kita sendiri tidak mengambil serius hal pemasaran dan ekonomi, maka peranan seorang arkitek telah diperkecil.
3- Di Malaysia, yang akan menjawat jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi selalunya akan berlatar belakangkan undang-undang, ekonomi dan juga kedoktoran (2 jawatan tertinggi di Malaysia sekarang daripada bidang ini). Jarang kita mendengar arkitek ataupun mana-mana profession daripada reka bentuk (perancang bandar, landskap arkitek, grafik designer) yang akan memegang portfolio penting dalam organisasi besar. Mengapa ini terjadi? Jika kita lihat point no 1 di atas, arkitek itu menyeluruh pembelajaran dan aplikasinya?
4- Pendapat saya yang tersangatlah mentah ini, arkitek selesa dalam kelompok mereka sendiri. Ini yang paling dapat saya lihat sepanjang daripada zaman belajar, bekerja di firma arkitek dan kemudiannya sekarang. Kalau bukan dalam kelompok sesama arkitek, mereka sekadar selesa dalam kelompok construction. Di situ sahaja circle of friends mereka sebenarnya secara professional. Mereka tidak terlibat dalam hal-hal ekonomi maka mereka tidak mempunyai circle dalam kalangan itu. Mereka tidak terlibat dalam urusan undang-undang, maka circle mereka dalam hal itu tidak berkembang. Nak berborak hal itu pun tak mahu. Yang paling diraikan, bagaimana industri kreatif itu berkembang dalam kalangan mereka sahaja. Kau suka design aku, aku suka design kau, design kau cantik dan minimalis, arkitek A punya style traditional, arkitek B kontemporari. Begitu sahajalah ulang-ulang.
5- Sama juga dengan grafik designer. Yang ini saya rasa lagi kecil skop mereka walaupun mereka berterusan mengatakan grafik itu penting di zaman media sosial ini. Betul, grafik design amat penting di zaman ini, kerana itu mereka diambil bekerja. Kerana itu juga harga freelance grafik designer yang bermutu agak tinggi. Tapi sampai bila kita diambil bekerja dan berterusan menerima keputusan daripada yang diatas?
6- Di Malaysia, boleh dikira dengan jari sahaja lepasan arkitek dan seni yang berkecimpung dalam politik. Bagi ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat besar yang tersenarai di bursa saham pula, saya tak pasti ada atau tidak arkitek terselit di sana. Sayang buat jurusan ini kerana kos dan masa sewaktu belajarnya sangat memeritkan, tetapi tidak ke mana selepas itu.
"Adakah jurusan seni itu suatu kerugian. Pembelajarannya mahal sekali, pulangannya murah sekali."
6- Sudah sampai masa profession kreatif di Malaysia mengorak langkah untuk lebih proaktif dalam menentukan hala tuju negara. Kita perlu lebih kritis dan lantang dalam menyokong dan mengkritik pembangunan di negara Malaysia. Bagi mereka yang berkemampuan, cuba untuk tembusi sektor-sektor korporat dan politik agar nama arkitek itu lebih dikenali. Jangankan terus memarahi drama TV3 yang menayangkan arkitek sekadar memegang gulungan kertas kehulu hilir kalau kita sendiri tidak memartabatkan jurusan ini di mata masyarakat Malaysia. Betul, bila sebut anda seorang arkitek orang akan pandang, tapi sampai situ sahajalah. Populis sahaja di mata masyarakat.
"Siapakah tokoh arkitek yang dikenali masyarakat Malaysia?"