Tuesday, January 16, 2018

Mockup Cek Hantaran - Kayu atau Clear?

 Assalamualaikum.

Hari ini saya akan sertakan beberapa gambar berkenaan trend masa kini untuk hantaran ketika majlis pernikahan, iaitu mockup cheque ataupun cek tiruan bagi jumlah nilai hantaran.

Selalunya ketika majlis pernikahan, pengantin lelaki akan memberi wang hantaran sepertimana yang telah dipersetujui antara beliau dan pihak perempuan. Namun selalunya wang / cek itu tidaklah dibawa ketika majlis kerana jumlahnya yang agak besar dan dikhuatiri hilang / rosak ketika majlis. Oleh itu, kadang kala pihak lelaki akan membawa cek tiruan yang siap diframe, ataupun cek sebenar tetapi diframe dengan rapi, ataupun ada yang sekadar memberi sampul surat (sebagai tanda) kerana wang yang sebenar telah pun diberi sebelum majlis.

Di Carving Crew Design, kami memberi idea dan konsep yang baru kepada pemberian wang hantaran ini iaitu melalui mockup cheque. Kami sertakan dua pilihan konsep, iaitu mockup cheque kayu ataupun mockup cheque clear. 

Mockup Cheque Kayu

Mockup Cheque Kayu

Bagi mereka yang menggemari elemen-elemen kayu dan hipster dalam tema pernikahan anda, mockup cheque kayu sememangnya satu pilihan tepat. Mockup cheque ini sesuai jika konsep hantaran anda bertemakan warna-warna seperti coklat, putih. atau warna-warna yang pudar dan 'earthy' seperti hijau yang pudar, cream dan sebagainya. Oh ya, jika anda menggunakan dulang hantaran kayu, mungkin ini yang paling sesuai.

Pemilihan warna yang pudar dan 'earthy'

Contoh wedding signage yang bertemakan rustic dan earth.

Warna hijau dan kayu sememangnya kombinasi yang sangat sesuai
Bayangkan elemen kayu jika diletakkan ke gubahan bunga ini

Mockup Cheque Clear

Mockup Cheque Clear
Style ini lebih bersifat all-rounder. Ianya sesuai diletakkan ke mana-mana jenis konsep hantaran sekalipun disebabkan oleh gayanya yang lebih bersifat ekslusif dan elegan serta transparent (tidak terikat dengan apa-apa jenis warna). Bagi saya, jika konsep hantaran anda menggunakan warna yang kuat dan lebih dominan, mockup cheque ini pasti akan menonjol disebabkan wataknya yang contrast dengan pemilihan warna anda tadi.

Warna merah yang sangat sesuai digayakan dengan cheque clear.

Bayangkan elemen 'clear' seperti gelas-gelas di meja itu yang serasi dengan konsep sebegini.
Warna biru gelap yang sesuai dengan konsep.

Sekian daripada saya untuk hari ini. Jika anda berminat untuk menempah, saya akan sertakan contact number di bawah dan jika anda berminat untuk melihat hasil-hasil yang lain juga, boleh terus ke instagram dan facebook Carving Crew Design. Assalamualaikum.

Whatsapp - 014-5327392

Monday, January 1, 2018

Bersalin di Hospital Selayang - Julai 2017 - Part 2

Assalamualaikum.

Bersambung daripada entry sebelumnya, Bersalin di Hospital Selayang - Part 1.

Kali ini seperti dijanjikan saya akan bercerita pula perihal pengalaman di wad bersalin Hospital Selayang. Untuk pengetahuan, saya menempah wad kelas pertama, dengan 1 bilik menempatkan 2 katil. Di wad kelas pertama ini, akan ada 3 jenis bilik iaitu sebilik 4 katil, sebilik 2 katil dan satu bilik satu katil. Beza harga bagi setiap bilik ini ialah RM30, dengan bilik 4 katil bermula dengan harga RM60, kemudian RM90 dan akhir sekali RM120 untuk satu malam. Kami mengambil yang RM90/malam.

Boleh dikatakan keadaan suasana wad kelas pertama ini cukup selesa. Bayangkan wad hospital swasta yang biasa, cuma tiada tv di setiap bilik sahaja. Setiap bilik mempunyai tandas sendiri, dan yang paling penting, penjaga (seorang sahaja) dibenarkan bermalam bersama ibu dan anak di wad. Ini yang membezakan wad kelas pertama dengan kelas-kelas lain yang mana penjaga (suami) hanya dibenarkan masuk ketika waktu lawatan sahaja.

Bagi kami yang pertama kali merasai pengalaman menguruskan anak yang baru lahir ini, kami merasakan bahawa kebenaran penjaga bermalam ini sangatlah penting kerana masing-masing masih lagi mentah dalam hal menguruskan anak, dan apabila berada bersama ini inshaAllah semua urusan dapat dijalankan dengan lebih mudah. Mujur juga nurse di wad ini ringan tangan untuk sentiasa membantu kami walaupun adakalanya kami memanggil mereka pukul 3-4 pagi kerana anak kami tidak henti-henti menangis walaupun macam-macam cara dilakukan. 

"Anak pertama ke?"

Itu soalan yang sering kami terima daripada nurse yang bertugas ketika kami memanggil mereka untuk meminta bantuan. Alhamdulillah mereka akan membantu walaupun dalam seremeh-remeh perkara.

Kebiasaannya bagi bayi yang tiada komplikasi apa-apa, ibu dan bayi hanya akan mengambil masa maksimum 3 hari 2 malam di hospital. Seterusnya mereka akan dibenarkan pulang walaupun ada hal seperti kuning/jaundice kerana bacaannya tidaklah tinggi dan stabil. Namun situasi agak berbeza bagi kami. Pada hari ketiga, anak kami dimasukkan ke NICU atas sebab bacaan jaundice yang tinggi. Dan pada hari itu juga doktor mengesahkan bahawa anak kami merupakan G6PD Defficiency dan perlu ditahan di hospital minimum 5 hari (prosedur hospital bagi G6PD) bagi pemantauan lanjut.

Apa itu G6PD Defficiency?

G6PD Defficiency (Kekurangan G6PD) ialah semua kondisi keturunan yang diwariskan daripada ibu bapa bayi. G6PD ialah enzyme yang membantu sel darah merah berfungsi dengan baik. G6PD mampu membantu melindungi sel darah merah daripada serangan bakteria akibat daripada pengambilan sesetengah ubat-ubatan ataupun ketika badan kita sedang melawan penyakit. Justeru itu, apabila badan kekurangan enzyme G6PD maka bayi akan mudah terkena beberapa penyakit seperti di bawah:
  • Pucat
  • Keletihan yang melampau
  • Degupan jantung yang laju
  • Pernafasan yang laju ataupun sesak nafas
  • Jaundice / Demam Kuning
  • Air kencing berwarna gelap
G6PD bukanlah suatu penyakit kronik, malah ia bukanlah penyakit pun. Kita hanya perlu mengambil beberapa langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan simptom-simptom seperti disebut di atas terjadi kepada bayi. Senang cerita, bayi seperti perlu berpantang daripada beberapa perkara. Pihak hospital juga akan mengedarkan risalah kepada ibu bapa jika bayi anda kekurangan G6PD. Antara perkara-perkara yang perlu dielakkan ialah (selebihnya boleh rujuk pada yang pakar):
  • Kacang parang
  • Ubat gegat
  • Beberapa jenis antibiotik
  • Beberapa pil tahan sakit / pil kurangkan demam

Disebabkan hal ini juga, anak kami perlu ditahan sekurang-kurangnya 5 hari di hospital bagi tujuan pemantauan. Hal ini kerana kekurangan G6PD mampu untuk menyebabkan bacaan jaundice naik mendadak pada bila-bila masa namun alhamdulillah, pada hari kelima anak kami menunjukkan bacaan yang stabil dan dibenarkan pulang.

Perihal NICU pula, pada hari pertama dimasukkan, isteri saya tidak dapat bermalam di hospital kerana kekurangan katil. Maka, pada hari itu, kami hanya dibenarkan berada di NICu daripada jam 7 pagi sehingga 10 malam sahaja. Ianya amat menyedihkan sebenarnya untuk melihat anak kami diletak di bawah lampu UV itu keseorangan, namun kami redha dan percaya bahawa staff nurse di NICU semuanya terlatih dan hebat-hebat belaka. 

Keesokannya alhamdulillah terdapat kekosongan di wad maka isteri saya dibenarkan untuk bermalam di NICU. Bagi sesiapa yang tidak tahu, tiada pelawat dibenarkan masuk ke NICU walaupun waktu lawatan. Hanya ibu bapa sahaja dibenarkan, dan bapa juga diarahkan untuk pulang setelah 10 malam.

Hari kelima kami bertiga dibenarkan pulang setelah pemeriksaan akhir oleh doktor. Syukur alhamdulillah. Sebelum pulang, saya perlu menjelaskan bil-bil hospital dahulu di kaunter dewan bersalin. Jumlah kesemuanya ialah RM1300++ (wad kelas pertama, caj bersalin, NICU, dan beberapa lagi caj yang saya pun dah lupa. Oh ya, sebelum dimasukkan ke wad, kita perlu bayar deposit dahulu RM800 (jika tidak silap). Caj deposit rasanya berbeza mengikut jenis wad (maaf jika salah).

Sekian daripada saya. Semoga kita semua mendapat manfaat dan sedikit pengetahuan dan maafkan andai tersalah info.