Thursday, September 14, 2017

Bersalin di Hospital Selayang - Julai 2017 - Part 1

http://ariffash.blogspot.com/2018/01/bersalin-di-hospital-selayang-julai.html
27 Julai 2017.
7.40 pagi
Assalamualaikum. Saya dan isteri seperti biasa pada pukul 7.40 pagi akan mula keluar dari rumah untuk ke Damansara, tempat isteri bekerja. Sepanjang kehamilan ini, memang saya yang akan menghantar beliau hari-hari ke tempat bekerja, kemudiannya barulah saya akan bergerak ke Rawang, ke Studio Carving Crew Design. Tentang Carving Crew Design, saya tak sempat huraikan lagi di sini. InshaAllah dalam tulisan seterusnya.

Perjalanan ke kerja haritu bukanlah perjalanan biasa-biasa. Rumah kami terletak betul-betul di sebelah Bulatan Batu Caves, maka untuk ke MRR2 dan kemudiannya menuju ke LDP, perlulah melalui bulatan tu dahulu. Ketika lampu isyarat merah, Belina mula menunjukkan tanda-tanda yang beliau sakit perut. Katanya ini bukan biasa-biasa. Rasa macam cramp, nak terbuang air besar yang kerap. Kami anggap benda tu biasalah pada mulanya sebab biasalah tu pagi-pagi rasa nak buang air besar. Semua orang macamtu.

Tapi sakit tu macam makin kerap dan kerap. Sehinggalah saya minta Belina call Mama, untuk mendapat kepastian. Mama tiada jawapan spesifik tentang sakit tu, tapi beliau cakap kalau tak pasti pergilah ke hospital. Dikala saya perlu memilih untuk terus ke MRR2 atau memilih lencongan lain menuju ke Hospital Selayang dalam masa 2-3 saat, kami membuat keputusan untuk ke Hospital Selayang.

8.30 pagi
Saya cuma drop sahaja Belina di Wad Bersalin. Nak cari parking di Hospital Selayang ni memang boleh bergaduh. Nak cari parking pagi tu sahaja 2-3 kali tawaf hospital. Settle cari parking, saya terus bergerak ke tingkat 5 kalau tak silap, iaitu Dewan Bersalin. Cerita punya cerita di situ, rupanya dah 1cm bukaan. Proses pendaftaran waktu itu pun mudah, namun nurse sempat mengingatkan Belina agar bawa sekali buku pink dan sijil nikah semasa ke Dewan Bersalin. Memang betul kami terlupa hal itu. Nurse menasihati kami untuk pulang sahaja dulu kerana memang tiada katil kosong di wad untuk berehat. Satu saja pesan doktor,

“Jangan datang selagi air ketuban tak pecah atau tiada pendarahan."

Jelas sungguh pesanan tu.

Kami pun pulang terus ke Rawang, rumah Mama Abah Belina. Belina kata sakit tu adalah jugak, tapi tidaklah terlalu sakit sampaikan tak mampu buat apa-apa.

9.00 malam
Ini cerita selingan saja. Waktu ini kami sempat ke IKEA beli barang keperluan kerja saya, kemudian Belina dengan selambe pergi ke ofis kejap sebab nak hand over kerja. Oh lupa, kami memang decide bahawa keesokan harinya iaitu Jumaat untuk hari terakhir Belina bekerja sebelum mula cuti bersalin. Namun nampak gayanya cuti tu dah bermula harini disebabkan kes ke hospital pagi tadi. Duduk kat ofis lama juga, bolehlah kemas mana patut and kemas folder di desktop bagi orang lain senang nak buat kerja. Kami sampai ke Rawang malam tu lebih kurang pukul 11 malam.

28 Julai 2017
2.00 pagi
Betul-betul sebelum tidur, Belina keluar dari bilik air lalu memanggil saya. “Awak, dah berdarah.” Okay itu tanda yang doktor cakap pagi tadi. Tanpa melengahkan masa, kami bersiap-siap. Beg memang sudah disiapkan awal lagi, yang dalamnya ada pampers, baju bayi, tuala bayi, kain batik, baju ibu, seluar dalam pakai buang, tuala wanita untuk bersalin, sijil nikah, buku pink dan beberapa item lagi.

Mama dan Abah pun kami kejutkan sebab memang mereka ada pesan kalau nak ke hospital mereka nak ikut. So malam tu kami bertolak ke Selayang dengan perjalanan kurang dari 15 minit. Alhamdulillah dipermudahkan kerana jalan memang total lengang. Mama dan Belina terus ke tingkat 5, sementara saya dan Abah mencari parking. Parking pun mudah malam itu. Waktu nak naik ke tingkat 5, abah ditahan dan tidak dibenarkan naik kerana prosedurnya hanya suami dan ibu sahaja dibenarkan menunggu di Wad Bersalin. Abah kemudiannya tidur sahaja dalam kereta.

Selesai pendaftaran apa semua, kami hanya menunggu sahaja di kawasan menunggu itu. Orang agak ramai, namun tidaklah seramai sewaktu kami datang pagi tadi. Ramai juga bakal-bakal ibu yang tertidur di kerusi, kebanyakan mereka sudah overdue dan masih menunggu bukaan. Pertama kali dalam 9 bulan, saya dapat melihat Belina betul-betul sakit sewaktu menunggu itu. Contraction lebih kurang 15 min sekali, dan dia sampai berpeluh-peluh duduk di kerusi. Nak ditolong pun tak mampu, hanya mampu berada di sisi saja.

3.30 pagi
Nurse memanggil Belina untuk pemeriksaan dan menukar baju ke uniform pink. Waktu itu bukaan sudah pun menecah 5cm, dan Belina dinasihatkan untuk banyak berjalan bagi memudahkan bukaan. Sekali lagi doctor berpesan dengan jelas,

“Bila betul-betul dah tak tahan baru datang ke sini semula (kaunter dan bilik pemeriksaan).”

Saya menemani Belina berjalan di sekitar koridor. Kejap-kejap akan berhenti, terutama sekali bila contraction datang. Muka akan berkerut-kerut dan berpeluh-peluh. Bila dah habis sakit itu, kami teruskan berjalan.

Berjalan-berjalan sehinggalah Belina memutuskan untuk duduk dan tidur di kerusi urut berdekatan. Kerusi urut itu memang dah rosak, namun itulah kerusi paling selesa di situ. Nak boleh ke tidur itu juga mengambil masa, kerana contraction makin kerap, dan sakit dan kejang itu makin menusuk.

5.00 pagi
Terjaga dari tidur dek kerana sakit yang amat sangat. Kali ini lebih kerap, dan menurutnya lebih sakit. Nak berjalan selepas itu pun makin kerap berhenti, lalu kami putuskan inilah waktunya. Belina berjalan seorang menuju ke bilik pemeriksaan, saya hanya mampu memerhati dari jauh. Bilik pemeriksaan hanya untuk pesakit sahaja.

Agak lama Belina di dalam, sehinggalah saya terdengar nurse di kaunter menyebut nama Belina, dan akan dihantar ke labour room dengan segera. Saya kemudian dipanggil ke kaunter untuk mengisi borang pendaftaran. Nurse memberitahu bukaan sudah 8cm, dan isteri saya akan dihantar ke labour room 11. Sedang mengisi borang, kelihatan Belina ditolak dengan wheelchair ke labour room. Rasa sebak itu ada, dalam masa sama rasa takut. Hanya berserah pada Allah. Badan saya juga dah terasa sejuk.

5.40 pagi
Saya dipanggil ke labour room. Saya menyelak langsir, dan kelihatan Belina sedang terbaring di katil. Allah, masa itu hanya Tuhan yang tahu perasaan, melihat isteri sedang dalam persiapan untuk bertarung nyawa. Bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat kami. Saya kemudiannya berdiri di sisi, dan hanya mampu melihat sekali sekala isteri saya bertarung dengan kesakitan contraction. Di labour room itu ada 2-3 orang nurse, yang sentiasa memantau graf contraction dan jantung. Belina sudah semakin sakit, namun nurse masih meminta untuk hold sebentar. Contraction terlampau tinggi, dan nurse seboleh-bolehnya mahu membantu agar kelahiran ini normal kerana ini kelahiran pertama.

6.20 pagi
Seorang doktor wanita datang untuk memudahkan proses kelahiran. Nurse di situ mungkin ada dalam 3-4 orang. Saat ini barulah segala proses bermula..

Sehinggalah saya diminta meninggalkan labour room sebentar kerana prosedur vacuum perlu dilakukan. Dalam hati, berdoa agar semuanya selamat.

7.04 pagi
Terdengar dari jauh suara tangisan bayi dari labour room 11. Alhamdulillah semuanya selamat namun saya masih belum boleh dipanggil masuk kembali. Hanyalah sekitar 7.30 baru dipanggil masuk, dan kelihatan Belina terbaring lesu di katil. Bayi masih lagi berada di bilik lain untuk dibersihkan. Tak lama lepas itu, bayi kami dibawa masuk. Allah sahaja tahu perasaan kami ketika itu, melihat satu pemberian tidak ternilai harganya di dunia ini. Inilah mukjizat Tuhan dan tanggungjawab kami berdua untuk dijaga sehingga ke akhir hayat.

Sayu sungguh perasaan mengucapkan iqamah pada pagi Jumaat itu.





Pengalaman di wad. Jaundice. G6PD Defficiency. Keluar wad. Layanan staff.


Akan diceritakan pada bahagian seterusnya..

PART 2:
http://ariffash.blogspot.com/2018/01/bersalin-di-hospital-selayang-julai.html